Kementerian Pertanian gerakkan ‘task force’ kawal cili import

Kementerian Pertanian gerakkan ‘task force’ kawal cili import

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) telah menggerakkan satu ‘task force’ bagi menangani isu berbangkit daripada pengimportan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Perhatian utama task force bagi isu cili merah adalah untuk memastikan kecekapan kos pengeluaran di sepanjang rantaian nilai supaya cili merah tempatan berdaya saing di dalam pasaran.

Dalam satu kenyataan media hari ini, kementrian berkenaan berkata, task force berkenaan akan turut dianggotai oleh beberapa Kementerian berkaitan iaitu Kementerian Kesihatan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk mengambil tindakan ke atas sebarang pelanggaran yang berlaku dalam pengimportan cili merah di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Akta Makanan 1983.

Ia juga katanya, turut tertakluk di bawah Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 sekiranya berlaku kemudaratan kepada industri tempatan akibat dagangan cili merah yang diimport ke dalam Malaysia.

Menurut MOA, penggunaan per kapita cili merah di Malaysia adalah sebanyak 2.3 kg/tahun. Pada tahun 2017, pengeluaran cili merah tempatan sebanyak 27,000 tan metrik hanya mampu menampung 37% daripada permintaan negara.

“Sehubungan itu, baki sebanyak 63% lagi perlu ditampung melalui pengimportan bagi memastikan bekalan cili merah dalam pasaran mencukupi.

“Pengimportan hasil pertanian dari negara luar adalah disyaratkan dengan Permit Import iaitu instrumen kawalan yang digunakan oleh Kerajaan bagi mengawasi kualiti, keselamatan, penyakit dan perosak yang boleh membahayakan pengguna dan sektor pertanian negara.

“Dalam hubungan ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) telah menguatkuasakan Permit Import cili merah mulai 1 Mac 2017 bagi mengawal perosak lalat buah cili (Bactrocera latifrons) dan penggunaan sisa racun makhluk perosak supaya mematuhi piawaian ASEAN Maximum Residue Levels (ASEAN MRLs).

“Dari Januari sehingga Julai 2018, sebanyak 1,092 Permit Import telah dikeluarkan bagi mengimport 31,000 tan metrik cili merah melalui 16 pintu masuk negara yang telah diwartakan,” kata kenyataan itu.