Malaysia Dateline

Kementerian Rina minta maaf, tarik balik poster Doraemon

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menarik balik poster beberapa panduan kepada suri rumah untuk mengelakkan pergaduhan bersama pasangan sepanjang tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam satu kenyataan, kementerian berkenaan berkata, pihaknya memohon maaf sekiranya beberapa tips yang dikongsikan tidak bersesuaian dan menyentuh sensitiviti golongan tertentu serta akan lebih berhati-hati pada masa akan datang.

“Kami mengambil maklum respons banyak pihak berhubung beberapa tips untuk wanita semasa berada dalam tempoh PKP melalui poster-poster yang telah disiarkan di media sosial kami.

“Pendekatan yang digunakan adalah untuk berkongsi kaedah dan amalan untuk mengekalkan hubungan yang positif dalam keluarga dan ketika menjalani fasa bekerja dari rumah.

“Pihak kami menghebahkan tips harian dan mesej positif dalam media sosial dengan kempen #wanitacegahcovid19 merangkumi pelbagai tema dengan matlamat untuk berkongsi maklumat kepada golongan wanita,” kata kenyataan itu semalam.

Sebelum ini, KPWKM dalam satu hantaran instagram berkata, wanita perlu mengelakkan dari menyindir pasangan dan sentiasa amalkan sikap bertolak ansur serta menghormati antara satu sama lain.

Dalam panduan tersebut, kementerian itu juga menawarkan tips menegur pasangan dengan menggunakan salah satu suara kartun Jepun yang popular dalam kalangan kanak-kanak.

“Jika melihat pasangan melakukan sesuatu yang bercanggah dengan kehendak kita, elakkan dari berleter – gunakan perkataan ‘humorous’ seperti ‘cara sidai baju macam nilah sayangku’ (tiru nada Doraemon dan diikuti dengan gelak manja!),” nasihatnya.