Malaysia Dateline

Kementerian Wanita patut jadi ‘frontliners’ bukan ‘front cover’

Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga Masyarakat (KPWKM) terus dihujani kritikan dari pelbagai pihak di saat masyarakat berhadapan dengan kes jenayah seksual terhadap wanita dan kes penderaan kanak-kanak yang meningkat dalam tempoh pandemik ini.

Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR, Fadhlina Sidek menyifatkan gambar sensasi Menteri Datuk Seri Rina Harun yang menggayakan busana di pejabat menteri di Putrajaya adalah keterlaluan.

Katanya, sebagai kementerian utama yang menganani isu-isu kebajikan rakyat dalam tempoh pandemik, imej KPWKM sepatutnya dilihat sebagai kementerian barisan hadapan (frontliner) dan bukannya menjadi “front cover” yang memaparkan foto-foto sensasi Menteri KPWKM.

“Saya mendokong penuh semua aktiviti yang memaparkan gaya hidup sihat dan kesejahteraan mental dalam usaha melestarikan tauladan kehidupan yang sihat dan sejahtera terutamanya Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Oleh itu, saya juga mengucapkan tahniah atas kejayaan peribadi Menteri yang telah berusaha membudayakan gaya hidup sihat,” katanya.

Tetapi dalam masa yang sama beliau mengingatkan Rina Harun bahawa kegagalan dan kelambatan pembentangan RUU Akta Gangguan Seksual yang sepatutnya berlaku di sesi sidang parlimen yang lepas telah mengakibatkan rakyat khususnya warga wanita masih terdedah kepada ancaman gangguan seksual tanpa perlindungan di sisi undang–undang.

Justeru, Wanita PKR menawarkan khidmat nasihat guaman kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya kaum wanita yang menjadi pemandiri gangguan seksual.

“Kami juga komited untuk melaksanakan program-program advoaksi dan pendidikan berkaitan gangguan seksual di seluruh negara khususnya agenda “Komuniti Waspada” dalam usaha memberdaya komuniti dan mempertingkatkan kesedaran awam,” katanya.