Kementerian Wilayah bercadang bertemu pemilik tanah Kampung Baru

Kementerian Wilayah bercadang bertemu pemilik tanah Kampung Baru

Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) merancang untuk memanggil semua pemilik dan waris tanah di Kampung Baru bagi mengemukakan cadangan pembangunan kampung berusia 120 tahun itu.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, rancangan untuk bertemu dengan pemilik dan waris tanah berkenaan, dijadualkan diadakan pada bulan Ogos atau September depan.

“Tujuan kita memanggil pemilik dan waris tanah di kampung berkenaan adalah untuk memberikan penerangan yang lengkap berhubung harga tawaran bagi setiap kaki persegi tanah milik mereka.

“Selain itu, kami juga akan menunjukkan kepada mereka mengenai pelan perancangan pembangunan yang bakal dibangunkan di kampung itu,” katanya menerusi siaran langsung pada Bicara Politikonomi ‘Wilayahku’ di RTM1, semalam.

Pada 22 April lalu, Khalid dipetik sebagai berkata, kerajaan memerlukan dana RM10 bilion jika berhasrat membeli tanah di Kampung Baru untuk dibangunkan menjadi penempatan moden dan sistematik orang Melayu di tengah ibu kota.

Beliau berkata, dana itu diperlukan untuk membolehkan kementerian membangunkan Kampung Baru secara menyeluruh dan bukan secara berkelompok atau ‘runcit’ oleh pemilik tanah bersama pemaju.

Sejarah Kampung Baru sebagai kawasan penempatan orang Melayu terbesar di ibu kota bermula pada 1899, melalui tanah kurniaan Sultan Selangor ketika itu, Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa (Sultan Sulaiman).

Kampung Baru telah ditubuhkan oleh kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan negeri Selangor semasa rancangan pembangunan semula Kuala Lumpur daripada sebuah kampung lombong timah kepada sebuah bandar utama.

Dalam perkembangan sama, Khalid berkata masyarakat kini lebih terbuka dalam menerima pembangunan yang bakal dilakukan di tanah Kampung Baru itu.

Beliau berkata, daripada perbincangan yang telah dijalankan, pihaknya mendapati mereka lebih terbuka menerimanya, tetapi dengan syarat mendapat tawaran harga yang baik dan munasabah.

“Dulu isu di Kampung Baru ini susah nak diselesaikan kerana ramai pemiliknya yang masih muda.. mereka mahu duduk di situ dan tidak kisah sangat walaupun tanah yang mereka didiami itu tinggi nilainya.

“Tetapi apabila sudah mula berumur, mereka memikirkan tentang masalah anak dan bagaimana mereka hendak mewariskan tanah itu kepada anak-anak,” katanya lagi.