Kementerian Wilayah kuatkuasakan isytihar harta

Khalid berazam mahu membersihkan imej DBKL dari persepsi dan dakwaan lubuk rasuah.

Kementerian Wilayah akan menguatkuasakan sepenuhnya arahan umum (general order – GO) agar semua kakitangan kerajaan mengiytiharkan harta masing-masing bagi mengawal pelakuan rasuah.

Menteri Wilayah, Khalid Samad berkata, sememangnya menjadi satu arahan kepada semua kakitangan agar mengisytiharkan harta ketika mula memasuki perkhidmatan awam dan dikemaskini setiap lima tahun sekali termasuk di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Mereka juga dikehendaki melaporkan setiap kali membeli aset baru atau menjualnya.

“Namun ia tidak dikuatkuasakan selama ini. Kita akan kuatkuasakan sepenuhnya hal ini sebagai sebahagian dari usaha untuk mengawal gejala rasuah,” katanya.

Khalid juga memaklumkan. beliau sendiri telah membuat pengisytiharan harta secara terbuka sebelum pilihan raya umum ke 14 lalu.

Khalid mengulas laporan media kononnya banyak berlaku rasuah di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Khalid berkata, pelakuan rasuah bukan berlaku di DBKL sahaja tetapi seluruh kerajaan akibat salah laku pemimpin atasan kerajaan sebelum ini.

“Apabila orang bawah melihat orang atas korup, maka mereka juga melakukan amalan yang sama.

“Kerajaan Pakatan Harapan berazam mahu mengawal pelakuan rasuah sebaik mungkin,” katanya.

 

CATEGORIES
TAGS