Malaysia Dateline

Kementerian Wilayah Persekutuan salur RM2.19 juta geran aktiviti 2019

Kementerian Wilayah Persekutuan akan menyalurkan RM2.19 juta geran aktiviti dan RM1.03 juta geran pengurusan tahun ini kepada Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menteri berkenaan Khalid Abdul Samad berkata bagi geran aktiviti setiap zon dalam ketiga-tiga wilayah itu akan mendapat RM50,000 manakala RM20,000 untuk sub zon dan bagi geran pengurusan setiap zon diperuntukan RM20,000 manakala sub zon RM10,000.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) 2019/2020 semalam, yang melibatkan 13 zon dan 77 sub zon untuk ketiga-tiga wilayah itu.

Sementara itu, Khalid berkata buat pertama kali pengerusi zon yang dilantik akan dibayar elaun tetap RM2,500 sebulan bagi zon yang meliputi empat sub zon ke bawah, RM3,000 bagi (zon) yang ada lima atau enam sub zon dan bagi tujuh sub zon ke atas, pengerusi zon akan menerima elaun RM3,500 sebulan.

Selain itu Khalid turut memperkenalkan inisiatif ‘Van Wilayah’ yang akan dilancarkan sempena Hari Wilayah Persekutuan 2019.

Tiga belas van yang akan beroperasi bagi setiap kawasan parlimen itu bakal meringankan beban masyarakat setempat dan memudahkan urusan pengangkutan khususnya untuk golongan B40.- BERNAMA