Malaysia Dateline

Khalid Samad

Kementerian Wilayah Persekutuan terima permohonan bina 29,000 unit rumah mampu milik

Kementerian Wilayah Persekutuan telah menerima permohonan baharu untuk membina 29,000 unit rumah mampu milik setakat tahun ini, kata menterinya, Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata jumlah itu melibatkan kira-kira 40 projek Residensi Wilayah di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Kami mahu mencapai sasaran untuk membina 8,000 hingga 10,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh setahun dengan keluasan seunit adalah 900 kaki persegi dan ke atas yang dilengkapi satu lot parkir setiap unit.

“Tahun lepas, kami telah meluluskan kira-kira 6,000 unit rumah mampu milik untuk DO (Development Order) di bawah projek Residensi Wilayah dan diharapkan kami dapat mencapai sasaran pembinaannya sebanyak satu juta unit dalam tempoh 10 tahun,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Residensi JalilMas hari ini.

Katanya sehingga Mac 2019, sebanyak 55,970 unit rumah mampu milik melibatkan 89 projek telah diluluskan pembinaannya dengan 80 di Kuala Lumpur, dua di Putrajaya dan tujuh di Labuan.

“Projek-projek berkenaan merupakan kesinambungan projek rumah mampu milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) yang dijenamakan semula sebagai Residensi Wilayah,” katanya.

Khalid berkata, pihaknya akan meneliti kesesuaian projek yang dipohon untuk kebenaran pembangunan berdasarkan kepada Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang diwartakan pada Oktober 2018.

“Terdapat juga tanah-tanah swasta yang mahu dibangunkan, jadi kita akan menelitinya melibatkan jumlah kepadatan yang dibenarkan.

“Bagaimanapun, untuk kediaman mampu milik ini kita bersedia memberi kelonggaran jumlah kepadatan yang lebih tinggi,” katanya.

Terdahulu, seramai 1,050 pemilik Residensi Jalilmas menerima kunci unit masing-masing 12 bulan lebih awal memandangkan projek kediaman mereka itu siap lebih awal daripada jangkaan.

Residensi Jalilmas dibangunkan oleh Pemaju Aset Kayamas Sdn Bhd, terdiri daripada dua blok dan setiap unit berkeluasan 800 kaki persegi dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik mandi dijual dengan harga RM198,000.

— BERNAMA