Malaysia Dateline

Kementerian Wilayah serah geran RM4.5 juta kepada MPPWP

Sebanyak RM4.5 juta geran pengurusan dan geran aktiviti tahun 2019 diserahkan hari ini kepada Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM4.3 juta diserahkan kepada MPPWP Kuala Lumpur manakala RM271,600 diberikan kepada MPPWP Putrajaya bagi penyelarasan dan pelaksanaan program kemasyarakatan.

“Bagi melancarkan urusan pentadbiran dan pelaksanaan aktiviti MPPWP, semua pengerusi zon dan sub zon perlu memastikan urusan pembukaan akaun diselesaikan segera.

“Sebarang kelewatan penyaluran peruntukan akan menyebabkan pelaksanaan program MPPWP tergendala dan merencatkan urusan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya.

Khalid berkata demikian ketika berucap di Grand Banquet Hall, Gurney Mall, Residensi Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL), Jalan Maktab di ibu negara hari ini.

Menurutnya, antara program yang dilaksanakan melalui peruntukan itu ialah Program Ikon Remaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2019 yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 16 Mac lalu.