Malaysia Dateline

Kemerdekaan ke 63: Menilai hak samarata dan keadilan

Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan Ke-63 pada 31 Ogos dalam beberapa hari sahaja lagi.

Angka 63 itu pastinya memberikan suatu gambaran kepada awam tentang sebuah kematangan dan usia yang kaya dengan pengalaman.

Malah, jika disesuaikan dengan dunia pekerjaan, 63 tahun merupakan usia pencen sambil menikmati dunia dengan penuh ketenangan dan kedamaian jika diurus dengan sebaiknya.

Sebagai sebuah negara majmuk yang telah berusia selama 6 dekad, kepelbagaian yang ada mestilah membawa kepada kesamarataan yang harmoni dalam negara demokrasi.

Jika elemen kesamarataan ini tiada, negara bakal berdepan dengan masalah diskriminasi masyarakat seperti gender, majoriti lawan minoriti, ekonomi dan juga kewarganegaraan.

Pemimpin utama Parti Ennahda Tunisia, Rached Ghannouchi telah membawa wacana kesamarataan ini kepada masyarakat Muslim tentang gagasan ‘Fiqh Muwathonah’ ataupun Fiqh Kewarganegaraan dalam kerangka demokrasi berteraskan nilai dan prinsip Islam.

Ghannouchi memberikan definisi Fiqh kewarganegaraan ini dengan mengambil inspirasi ‘Sahifah al-Madinah’ ataupun dikenali sebagai Piagam Negara Madinah yang telah mengiktiraf hak dan tanggungjawab bersama semua warga sama ada mereka Muslim, penduduk asal Yathrib, Yahudi mahupun Arab.

Piagam Negara Madinah menjelaskan bahawa semua yang mendiami Madinah perlu memberikan kesetiaan dengan mempertahankan kedaulatan Madinah dan penduduknya daripada serangan musuh dan kesemuanya dianggap sebagai warga Madinah.

Malah, pemimpin yang terkenal dengan demokrat Muslim itu menekankan isu kehormatan manusia atau karamah insaniyah, keadilan, kebebasan dan juga kesamarataan dalam gagasan Fiqh Kewarganegaraan yang dipopularkan oleh beliau.

Jika disesuaikan dalam konteks Malaysia, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan semua warga adalah sama di sisi undang-undang.

Malah, mereka berhak mendapat perlindungan secara saksama dan adil.

Diskriminasi terhadap warganegara tidak boleh diamalkan semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, warna kulit atau tempat lahir mahupun jantina.

Hal yang demikian merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan yang diperuntukkan dalam perkara 8 iaitu hak terhadap layanan secara samarata di sisi undang-undang dengan tujuan untuk menegakkan keadilan hak asasi manusia.

Walaupun begitu, kesamarataan tidak boleh dilabel sama pada semua. Ini kerana tidak semua kategori manusia mempunyai keperluan yang sama.

Menurut John Bordley Rawls, manusia tidak dijadikan pada kedudukan yang sama. Oleh itu, seseorang perlu dilayan mengikut keperluan yang bersesuaian dengan mereka. Lebih tepat frasa adil berbanding samarata.

Secara realiti, Malaysia yang terbina dengan ikatan kontrak sosial telah berlayar membentuk negara sehingga usia 63 tahun.

Walaupun kontrak sosial ini tidak pernah disebut dalam perjalanan menuju kemerdekaan, namun ikatan inilah merupakan asas terbinanya negara berteraskan tiga kaum utama negara iaitu Melayu, Cina dan juga India.

Perjanjian yang tidak ditulis dalam Perlembagaan Persekutuan ini adalah persefahaman antara pemimpin daripada kaum-kaum utama di Tanah Melayu dahulu yang telah menjadi peraturan atau garis panduan, tetapi tidak mengikat.

Rentetan itu, akhirnya peraturan atau garis panduan yang tidak mengikat ini telah dijadikan sebagai perundangan ulung negara yang melahirkan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kepada Yang di-Pertuan Agong untuk bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera Malaysia.

Apa kaitannya memberi keistimewaan khusus kepada sesebuah kaum dan pribumi dengan konsep adil?

Mari kita betulkan kepincangan. Penulis berpandangan bahawa kaum majoriti perlu diurus sebaik-baiknya untuk memperoleh kestabilan terutamanya kestabilan politik.

Jika kestabilan politik dapat diraih, maka kestabilan ekonomi mahupun sosial pula akan ikut sama.

Semangat kontrak sosial dan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dijiwai oleh seluruh warga.

Ia tidak boleh dilihat dari kaca mata kaum semata-mata. Sebagai contoh, keutamaan memasuki perkhidmatan awam diberikan kepada orang Melayu agar mereka boleh menguasai politik negara kerana pegawai kerajaan memainkan peranan penting melaksanakan dasar pemerintah.

Begitu juga dengan perkhidmatan tentera dan polis yang dikuasai majoriti orang Melayu untuk tujuan sama.

Oleh yang demikian, berteraskan konsep kesamarataan, keadilan dan kerangka Fiqh Kewaganegaraan yang telah disebutkan, maka akhirnya bagi setiap warga mereka mempunyai hak yang samarata dan adil, sama ada mereka itu Muslim-bukan Muslim atau Melayu-bukan Melayu.

Hak yang samarata juga datang dengan tanggungjawab yang samarata.

Jika sekalipun terdapat perbezaan di dalam mendapatkan hak, ianya adalah berdasarkan keperluan individu kerana faktor fizikal, keupayaan, sosio-ekonomi dan juga suasana geografi.

Namun, kelebihan yang diberikan mestilah tidak mengambil hak warga yang lain. Timbal balas kepada tuntutan hak ini adalah semua warga wajib memberikan kesetiaan kepada Malaysia untuk kita menikmati keharmonian dalam menempuh kehidupan pada masa hadapan.

Maka, bersesuaian dengan tema Hari Kebangsaan iaitu Malaysia Prihatin, keprihatinan yang dijulang pada Ogos 2020 kali ini mestilah faham asas kerangka negara ini dibentuk seperti yang disebutkan di atas.

Kita prihatin kepada negara ibarat prihatinnya kita kepada kediaman sendiri.

Malaysia adalah kediaman kita bersama dan kita mahu jadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terbaik untuk didiami.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia dan warganya!
———————-
Penulis adalah Eksekutif Syariah di sebuah Institusi Kewangan Islam di Kuala Lumpur. Tulisan ini tidak semestinya pandangan Malaysia Dateline.