Kemerdekaan kedua dalam Malaysia Baharu bebas dari Umno

Kemerdekaan kedua dalam Malaysia Baharu bebas dari Umno

Tiga peristiwa dalam kehidupan bernegara yang bermakna berlaku dalam masa tiga minggu ini.

Bermula dengan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu, diikuti dengan Hari Ulangtahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada 9 September dan berakhir dengan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Bagi rakyat negara ini khususnya para pendukung Pakatan Harapan, tentunya sambutan kali ini amat bermakna kerana buat pertama kali, ia dilakukan dalam apa yang disebut sebagai Malaysia Baharu.

Sambutan di bawah Umno

Selama ini, sebanyak 60 kali, Hari Kebangsaan disambut ketika negara diperintah oleh kerajaan yang diketuai oleh Umno. Selama 60 kali, Hari Ulangtahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong disambut ketika Umno menjadi ketua kerajaan. Begitu juga, sebanyak 55 kali, hari ulang tahun penubuhan Malaysia diingati di bawah pemerintahan Umno.

Pada malam 30 Ogos 2018, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya menyebut bahawa kini Malaysia berada dalam “kemerdekaan kedua”, iaitu sejak Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Kalau Tunku Abdul Rahman Putra digelar sebagai Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia, maka Dr Mahathir bolehlah dipanggil “Bapa Kemerdekaan Kedua” dan “Bapa Malaysia Baharu”.

Kemerdekaan negara boleh ditafsirkan daripada pelbagai sudut. Tetapi apa yang jelas ialah hari kemerdekaan 31 Ogos itu disambut bagi merayakan Tanah Melayu tidak dijajah lagi oleh Britain.

Jadi apakah yang dimaksudkan dengan “kemerdekaan kedua” seperti yang disebut oleh Dr Mahathir?

Bagi para pendukung Pakatan Harapan yang telah berjuang menentang Barisan Nasional bertahun-tahun sebelum kemenangan ini tentu masih ingat kongkongan-kongkongan untuk berpolitik dalam Malaysia Lama.

Pemimpin-pemimpin kanan Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng dan Khalid Samad pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa dalam perjuangan mereka. Belum lagi dikira dengan beratus-ratus penyokong parti-parti dalam Pakatan Harapan yang melalui kesusahan kerana kongkongan politik ini.

Halangan pendaftaran

Antaranya ialah bagaimana parti-parti politik sukar hendak didaftarkan. Parti Keadilan Nasional terpaksa menggunakan parti yang sedia ada untuk bergerak.

Begitu juga dengan Parti Amanah Negara yang terpaksa juga menggunakan Parti Pekerja-pekerja Malaysia kerana halangan menubuhkan parti baharu. Malah Parti Pribumi Bersatu Malaysia digantung pendaftarannya menjelang pilihan raya umum.

Begitu juga bagaimana selama pentadbiran Umno, akhbar-akhbar dan majalah sukar mendapatkan perit penerbitan. Kerajaan Barisan Nasional pernah menggantung penerbitan akhbar The Star, Watan, Sin Chew Jit Poh. Malah The Edge pun pernah digantung kerana menyiar isu 1MDB.

Harakah sendiri disekat penjualan pada orang ramai. Ada keluarannya dirampas hinggakan ia menakutkan para pengedar dan penjual.

Berapa banyak permohonan untuk menerbitkan majalah dan akhbar ditolak oleh kerajaan.

Pernah satu masa majalah Readings in Islam dan Gema Mujahid dilarang penerbitannya.

Banyak penerbitan disekat

Kalau hendak dikirakan dari tahun 1957 hingga 2018, sudah berapa banyakkah akhbar, majalah dan buku yang disekat untuk diedarkan. Suatu kajian akademik perlu dibuat terhadapnya.

Bagi akhbar yang mendapat permit penerbitan, wartawan mereka tidak bebas untuk menjalankan tugas kewartawanan hakiki.

Arahan dari Jabatan Perdana menteri diterimma dari masa ke masa. Belum lagi dikira arahan dari pemilik akhbar yang terdiri daripada parti pemerintah.

Akhbar-akhbar bekerja untuk parti politik tetapi ditampilkan dan dikelirukan sebagai bekerja untuk bangsa, agama dan negara.

Malah menjelang pilihan raya umu lalu, posting di media sosial pun dipantau. Ada yang kena tegur dan malah akibatnya juga, ada penulis yang kolumnya dihentikan kerana komen beliau dalam media sosial.

Dalam Malaysia Lama, dirasakan mata-mata khas sedang memantau warganegara dan tindakan diambil terhadap mereka yang boleh mengancam kekuasaan parti pemerintah.

Sebab itulah sebaik saja keputusan pihan raya 9 Mei menunjukkan bahawa Barisan Nasional kalah, angin kebebasan dapat dirasakan.

Bebas bersuara

Jiwa tidak dirasa dikongkong lagi. Bebas bersuara dan menyatakan pendapat. Tidak ada lagi mata-mata khas memantau warganegara untuk dikongkongnya.

Demokrasi dirasakan melata ke seluruh negara. Inlah apa yang boleh disebut sebagai “kemerdekaan kedua.”

Sememangnya 31 Ogos 1957 merupakan perisytiharan kemerdekaan negara yang bermaksud bebas daripada Britain, walaupun banyak perkara proses pemerintahan sendiri berlaku secara beransur-ansur; dasar luar dan pertahanan.

Tetapi ketika kemerdekaan itu, Tanah Melayu masih berada dalam perang sesama sendiri, yang dinamakan oleh Britain dan kerajaan sebagai Darurat.

Keadaan Darurat menuntut supaya kebebasan rakyat dikongkong demi keselamatan daripada serangan kumpulan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM).

ISA dikuatkuasakan supaya sesiapa yang dilihat mengancam keselamatan negara dengan memberi keuntungan kepada PKM ditangkap.

Parti kiri diintip

Pertubuhan-pertubuhan yang dilihat mesra dengan fahaman komunis juga diharakan. Parti politik kiri yang dibenarkan seperti Parti Rakyat dan Parti Buruh bukan saja diintip tetapi disusup.

Akhbar juga dikongkong bagi menghalang sebarang susupan fahaman subversif.

Penduduk-penduduk kampung yang disyaki membantu PKM dipaksa berpindah ke kampung-kapmung baharu, yang berpagar dan dipantau.

Pilihan raya pertama Malaya diadakan pada tahun 1959 dalam keadaan kongkongan ini. Setelah Perikatan menang besar, Darurat diisytiharkan tamat pada tahun 1960.

Namun begitu, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu menjanjikan dua konsep penting untuk rakyat negara ini.

Ia adalah bahawa Malaya hendaklah mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembaagan. Maka pilihan raya pertama itu merupakan mandat rakyat terhadap Perikatan untuk memerintah negara.

Walaupun ia diketuai oleh Umno tetapi kedudukan ketiga-tiga parti itu, Umno, MCA dan MIC adalah setaraf dalam jemaah menteri.

Tetapi konsep raja berperlembagaan dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara adalah suatu perubahan besar bagi rakyat negara ini.

Untuk berkurun-kurun lamanya, orang Melayu hidup dalam masyarakat feudal dengan rajanya mempunyai kuasa mutlak. Begitu juga dengan orang Cina ketika mereka berada di China. Mereka diperintah oleh maharaja- maharaja dinasti berkuasa mutlak. Di India juga, orang India diperintah oleh raja-raja yang kuasanya tiada had.

Apabila Britain menjajah dan mengikat raja-raja dengan perjanjian, orang yang berada di negara-negara Melayu masih berada di bawah kedaulatan raja-raja.

Di Straits Settlement, penduduknya berada di bawah kekuasaan mutlak Raja England.

Sistem demokrasi

Dengan sistem raja berperlembagaan, rakyat negara ini termasuk orang Melayu tidak lagi diperintah secara mutlak. Pemerintahan beraja dulakukan melalui perlembagaan yang diluluskan melalui Parlimen.

Maka apabila Pakatan Harapan baru menang, apa yang Dr Mahathir tekankan ialah “rule of law” atau kedaulatan undang-undang.

Beliau juga menegaskan mengenai keluhuran perlembagaan. Tanpa perlembagaan, menurutnya, semua institusi negara tidak wujud.

Hari Malaysia kali ini juga bermakna apabila Dr Mahathir berkata negara akan kembali pada Perjanjian Malaysia 1963 yang menegaskan hak Sarawak dan Sabah.

Dalam sambutan kali ini, pertama kali kedua-dua negeri itu serentak tidak diperintah oleh Barisan Nasional.

Sabah diperintah oleh Parti Warisan Sabah dengan sokongan parti Pertubuhan Pasok Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan Sarawak ditadbir oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Malaysia Baharu menjanjikan kedudukan setara Sarawak dan Sabah dengan Semenanjung Malaysia seperti mana apa yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963

CATEGORIES