Malaysia Dateline

Kemerdekaan tanah air Palestin adalah tanggung jawab semua

1. Umat Islam seluruh dunia serta masyarakat antarabangsa mengucapkan rasa syukur di atas berhentinya peperangan buat sementara waktu dan terlaksananya gencatan senjata tanpa syarat antara Regim Haram Israel dan Hamas yang berkuatkuasa pada jam 2 pagi, 21 Mei 2021 Waktu Palestin.

2. Hamas mengisytiharkan peperangan ini dengan nama Peperangan Pedang Al-Quds atau (Ma’rakah Saif Al-Quds) demi memelihara kesucian Masjidil Aqsa yang diceroboh dan serangan pada malam 27 Ramadan yang lalu dan usaha rampasan kampung Sheikh Al-Jarrah atas nama undang-undang yang zalim di lingkungan daerah Al-Quds demi matlamat regim untuk merampas sepenuhnya Masjidil Aqsa dan menghancurkannya.

3. Membiarkan Masjid Al-Aqsa dihina dan diceroboh sesuka hati oleh tentera Israel dan membiarkan rampasan tanah Sheikh al-Jarrah adalah satu penghinaan dan mengundang pencerobohan lebih besar. Ia terpaksa dilakukan meskipun mengundang bahaya meskipun terpaksa mengorbankan nyawa yang sangat berharga.

4. Ia adalah satu rentetan perjuangan yang terlalu panjang sejak pengistiharan Negara Haram Israel pada 14 Mei 1948 oleh Regim Israel. Ia telah mengundang penentangan dan peperangan besar pada tahun 1948 antara negara-negara Arab dan Muslim, Perang 1967 hinggalah ke tahun 2008, 2014 hinggalah ke hari ini.

5. Persetujuan gencatan senjata ini menuntut Regim memberhentikan serangan serta merta, menghalang mereka untuk merampas Kampung Sheikh Jarrah dan menilai semula sikap degil mereka dalam menentang kebangkitan rakyat Palestin.

6. Ini menandakan Regim Israel terpaksa akur dengan kebangkitan dan penentangan seluruh rakyat Palestin dan bantahan seluruh dunia terhadap penjajahan Israel terhadap Palestin dan pencerobohan Masjidil Aqsa yang suci.

7. Hingga ke hari ini perlawanan dan penentangan terhadap Regim Haram Israel ini hanya mampu dibuat oleh Pergerakan Harakah Muqawamah Islamiah atau HAMAS yang diasaskan pada tahun 1987. Pengkalan mereka berada di Gaza, Palestin sebuah lingkungan wilayah Palestin terpisah dengan Tebing Barat yang luasnya hanya 11 kilometer persegi dengan kepadatan penduduk paling tinggi di dunia sejumlah 2.1 juta orang.

8. Gaza sudah dikenakan kepungan laut, darat dan udara serta pemboikotan ekonomi sejak tahun 2007 hinggalah sekarang. Hamas memenangi pilihanraya di Gaza dan mentadbir Gaza hingga sekarang dan tidak mengiktiraf regim haram Israel dan menganggapnya penjajah. Oleh itu perlawanannya disokong oleh majoriti rakyat Palestin di Gaza dan seluruh Palestin dan seluruh dunia Islam. Pergerakan Fatah pula berpusat di Tebing Barat yang tunduk kepada kemahuan Regim Israel dan mengiktirafnya.

9. Ramai pihak di luar masih ada yang kurang memahami dan beranggapan bahawa Isu Palestin ini adalah satu isu di Timur Tengah yang tidak perlu diambil berat dan tiada kaitan dengan negara kita. Ternyata pemikiran seperti ini adalah amat naif sekali dan tidak berasaskan pengetahuan dan pemahaman yang benar.

10. Palestin adalah tanah air Muslim sejak zaman berzaman. Sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w ianya adalah tanah air bagi para Anbiya’ dan keturunan Nabi Ibrahim, Nabi Ya’kub dan keturunannya yang menyeru kepada tauhid dan Allah yang satu. Memelihara setiap inci tanahnya adalah kewajipan setiap Muslim.

11. Di dalam Palestin di Jerusalem Timur wujudnya Tanah suci Masjidil Aqsa sebuah tanah waqaf yang merupakan kiblat orang Islam buat kali pertama. Di sinilah Baginda al-Rasul s.a.w bermikraj ke langit dari Kawasan Masjid Kubah Al-Sakhra’ menerima wahyu dalam peristiwa isra’ dan mikraj yang menjadi teras aqidah dan kepercayaan umat Islam.

12. Palestin adalah sebuah negara merdeka dibuka oleh Sultan Salahuddin Al-Ayyubi dalam Perang Hittin 1187 dan seterusnya bersambung di bawah pemerintahan Othmaniah selama 835 tahun dimana semua agama dan bangsa hidup dengan aman dan tenteram mengamalkan kepercayaan masing-masing di bawah pemerintahan Islam.

13. Namun kejatuhan Khilafah Othmaniah bermula dengan kekalahan Perang dunia pertama dan kejatuhannya pada 1924 memungkinkan Tanah air Palestin dirampas dan pengistiharan sebuah negara haram Israel pada 1948 selepas berakhirnya Mandat British.

14. Kerajaan British melalui Perjanjian Balfour sebelum perang Dunia Pertama tamat pada 1917 telah bersetuju menyerahkan tanah air Palestin kepada Zionis Yahudi untuk membentuk sebuah kerajaan haram Israel yang telah dirancang oleh pergerakan Zionis. Penjajahan ini telah berterusan dari tahun 1948 hinggalah ke hari ini yang telah mengorbankan terlalu banyak nyawa dan kehilangan harta benda.

15. Kewajipan menjaga dan mendapatkan kembali tanah air Muslim adalah merupakan satu kewajipan agama. Ianya juga satu tuntutan yang normal bagi rakyat yang terjajah untuk menuntut kemerdekaan sebagaimana dijamin oleh undang-undang antarabangsa untuk hidup merdeka dan mencorakkan negara mereka secara bermaruah.

16. Jika negara kita pernah dijajah oleh Portugis, Belanda,Inggeris dan Jepun selama 446 tahun namun rakyat kita terus melawan dan berjuang dengan harta dan nyawa hingga merdeka pada tahun 1957. Begitulah juga nasib yang diterima umat Palestin. Mereka ditawan oleh Regim Zionis Israel yang boleh dianggap sebuah regim apartheid sama seperti penjajahan yang diterima oleh penduduk Afrika Selatan.

17. Kesimpulannya seluruh rakyat di negeri ini dan negara amnya tanpa mengira bangsa dan agama hatta seluruh parti politik yang ada haruslah bersepakat dan bersatu hati menyokong kemerdekaan Palestin dari tawanan dan pencerobohan regim Aparteid Zionis Israel ini. Dalam hal ini Amanah menyokong perjuangan ini.

18. Kemerdekaan mereka adalah kemerdekaan kita. Kesedihan mereka adalah kesedihan kita. Luka mereka adalah luka bagi kita juga. Atas nama Palestin kita semua akan berjuang dengan segala upaya dan daya usaha sehinggalah tanah air Palestin dan Masjidil Aqsa yang suci bebas merdeka! Allahu Akbar walillahil hamd.

——————–

Penulis adalah Pengerusi Biro Perubahan Masyarakat AMANAH Negeri Selangor dan Naib Pengerusi 1 Amanah Negara Negeri Selangor.