Kemiskinan bandar bakal jadi tumpuan Datuk Bandar KL yang baharu

Nor Hisham bersama Mohamad Amin, Datuk Bandar KL ke 11.

Kemiskinan bandar bakal menjadi sasaran utama perkhidmatan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baru, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Dalam sidang media pertama selepas majlis serah tugas dari Tan Sri Mohamad Amin hari ini, Nor Hisham berkata, penduduk Kuala Lumpur yang termasuk dalam kategori miskin bandar akan menjadi fokus beliau.

Sebagai Datuk Bandar yang baru, Nor Hisham berkata, beliau akan lebih fokus kepada pembangunan manusia bukan fizikal sahaja.

“Semua penduduk Kuala Lumpur khasnya kemiskinan bandar akan menjadi fokus saya,” kata Nor Hisham.

Anak jati Kuala Lumpur, lahir dan membesar di Kuala Lumpur, mula bertugas sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke 12 mulai 1 Oktober semalam dan menerima penyerahan tugas dari Datuk Bandar sebelum ini hari ini.

Perlantikan beliau dibuat oleh Yang Dipertuan Agung selepas mendapat cadangan dari Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad dan dipersetujui oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kuala Lumpur adalah nadi dan jantung saya kerana saya lahir dan membesar di Kuala Lumpur,” kata beliau dalam sidang media bersama Menteri Wilayah Khalid Samad hari ini.

Dalam menjalankan tugas juga, beliau berkata, amalan intergriti akan menjadi pendekatan beliau.

Beliau juga menegaskan akan memberikan khidmat kepada semua tanpa mengira kaum dan agama.

“Saya akan memberikan khidmat kepada semua 1.8 juta penduduk Kuala Lumpur tanpa mengira kaum dan agama.

“KL Kita Punya akan jadi slogan saya dan saya akan lebih melaksanakan ‘Walk the Talk’ bukan cakap saja,” katanya.

 

CATEGORIES
TAGS