Malaysia Dateline

Kemiskinan dapat dihapuskan jika rakyat Malaysia bersatu

Berucap pada persidangan “Kemiskinan di Malaysia: Realiti lwn Persepsi” anjuran Asian Strategy and Leadership Institute (ASLI) pagi ini, bekas menteri kewangan Tun Dr Daim Zainuddin berkata, kemiskinan di negara ini boleh dihapuskan jika rakyat bersatu dan hidup dengan aman.

Sehubungan itu kata beliau, rakyat negara ini perlu berfikir bahawa mereka adalah rakyat Malaysia terlebih dahulu, bukannya terlalu menekankan soal kepentingan bangsa, lapor The Edge

Beliau yang merupakan pengucap utama dalam persidangan itu mengingatkan rakyat negara ini agar tidak mengetengahkan isu-isu emosional yang tidak perlu kerana ia tidak membantu sesiapa, sebaliknya kita harus berbangga sebagai rakyat Malaysia.

Tambah beliau, kita boleh hapuskan kemiskinan sekiranya kita bersatu dan dapat berkata bahawa kita adalah rakyat Malaysia terlebih dahulu dan mengambil manfaat atas kepelbagaian kita.

“Mari kita mengambil manfaat atas kepelbagaian kita dan memerangi mereka yang menentang perpaduan. Ingatlah bahawa kita pernah melakukannya dahulu…bersama mempertahankan negara ini, dan ramai rakyat Malaysia yang mati mempertahankan negara ini,” tambah beliau menurut laporan itu.

Daim selanjutnya berkata, beliau menyokong dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang diperkenalkan kerajaan tetapi beliau mengingatkan agar ia dilaksanakan dengan sempurna.

Pengerusi ASLI, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah sebelumnya turut berkata bahawa beliau menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 kerana ia bukan sahaja bermatlamat ingin menghapuskan kemiskinan tetapi yang lebih penting ia juga menjelaskan jalan untuk mencapai matlamat tersebut.