Malaysia Dateline

Kempen bendera putih: Mencari pemimpin berjiwa Umar Abdul Aziz

Ingatkah kita tentang kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz, seorang pemimpin yang mengenyangkan perut dan mengayakan rakyatnya? Membaca sejarahnya, tentu siapa pun mendambakan pemimpin sedemikian untuk negara Malaysia yang kita cintai ini.

Salah seorang gabenor ketika pemerintahan Umar Abd Aziz, Yahya bin Said menceritakan pengalamannya.

“Umar bin Abdul Aziz telah mengutusku ke sebuah tempat di Afrika Utara untuk membahagikan dana zakat. Lalu ku cari fakir miskin di sana tetapi tiada seorang pun yang layak digelar fakir miskin. Khalifah Umar benar-benar telah menjadikan rakyatnya kaya!” Hingga akhirnya, zakat itu beliau putuskan untuk membeli hamba sahaya lalu memerdekakannya.

Dalam kisah yang lain, pemimpin Bani Abbasiyyah mengatakan:”Kami dapat menandingi kerajaan Bani Umaiyyah dalam semua keadaan kecuali empat perkara dan salah satunya ialah tiada orang seperti Umar bin Abdul Aziz daripada kalangan kami buat selama-lamanya”.

Keamanan dan kemakmuran yang dinikmati pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz ini tentunya disebabkan sifat qanaah yang dimiliki oleh rakyat dan pemimpinnya. Selain sifat qanaah, seorang Umar ini turut melakukan pengislahan sehingga rakyatnya berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT berbanding hal keduniaan.

Itulah sebuah gambaran indah yang kita semua inginkan dalam sebuah pemerintahan yang adil dan saksama sebagaimana Allah dan Rasul-Nya inginkan. Kita teruskan berdoa agar Allah hadirkan segera pemimpin seperti itu.

Bukan tanda kalah!

Demi kelangsungan hidup dan ingin ‘mensifarkan’ kes tekanan perasaan dan jiwa, kemurungan apatah lagi bunuh diri, inisiatif hebat telah digerakkan oleh rakyat untuk rakyat, dengan menyarankan supaya dikibarkan kain atau bendera putih di depan rumah.

Kempen kibar bendera putih rakyat Malaysia ini juga sebagai menterjemahkan rakyat terputus bekalan makanan serta memerlukan bantuan segera. Ia juga sebagai isyarat rakyat sudah terlalu penat dengan sikap flip-flop kerajaan kini.

Apa lagi di saat pemimpin negara seakan memekakkan telinga dan membutakan matanya daripada melayani kebajikan utama rakyat di waktu Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang dijenamakan menjadi Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sedarlah wahai kerajaan PN, semua itu rakyat lakukan untuk menyelamatkan rakyat. Namun, kalian yang di atas seharusnya dan patut malu dengan solidariti serta kesungguhan yang rakyat lakukan ini.

Tidak terkecuali, ada yang sempat memperlekehkan tindakan yang dilakukan ini. katanya angkat tangan berdoa, bukan angkat bendera putih.

Membalas bicara tidak hikmah seorang pemimpin daripada parti Islam itu, pensyarah kanan di UPSI, Prof Madya Dr Muhamad Rozaimi Ramle memberikan maklum balasnya berkaitan reaksi ahli politik, Nik Abduh tentang gelombang bendera putih.

“Jika kenyataan YB Nik Abduh adalah berkaitan dengan kempen angkat bendera putih untuk meminta bantuan, maka saya katakan bahawa angkat bendera putih dalam kempen ini bukan bermakna kekalahan tetapi ia bermakna meminta bantuan jika makanan di rumah sudah habis”.

Menurutnya, ia kempen yang baik dan tidak harus dibaca dari kaca mata politik kepartian..

Beliau yang memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berharap agar usaha ini dapat membantu mereka yang kesusahan. Doa dan meminta bantuan berjalan serentak. Tidak bermakna yang angkat bendera putih itu tidak mengangkat tangan berdoa!

Sementara itu Fdaus Ahmad yang berasal dari Tanjung Malim berkata:

“Orang buat kempen gantung bendera putih tu simbolik sesama rakyat untuk bersolidariti bantu sesiapa yang tak cukup keperluan atau tak tahan tanggung tekanan hidup. Tujuannya supaya jiran tetangga alert dan boleh bagi bantuan dengan cepat.”

Angkat bendera putih ini bukan tanda kekalahan, tapi tanda rakyat dah penat, dah tak larat, nak cari makan pun susah. Sebab itulah angkat bendera putih supaya orang lain jiran tetangga dapat membantu.

“Kalau sekadar angkat tangan berdoa boleh selesai masalah, tak ada orang terjun bangunan sheikh. Tak ada lah orang hidup susah struggle merempat,” ujarnya bagi menyelar kata Nik Abduh.

Menerusi status Amin Ahmad pula, dia berkata, baginya kempen bendera putih ini satu bentuk komunikasi yang baik.

“Mesejnya dekat dengan maksud hadis, ‘Tidak sempurna iman seorang yang tidur kekenyangan sedang jirannya kelaparan.’ Ia adalah penekanan bahawa bantuan terlebih dahulu harus diusahakan kalangan terdekat.”

Dalam pada itu, seorang pemuka media yang berpengalaman dalam mengendalikan bual bicara di saluran TV1 RTM, Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar berkata, kempen Bendera Putih ini praktikal, berkesan dan kelihatan organik.

Kita sebagai masyarakat yang punya keprihatinan, pekalah dengan keadaan sekeliling agar perkara yang tidak diingini tidak terjadi lagi. Jangan biarkan pemimpin negara ini terus mengabaikan rakyatnya!

Kenapa tidak segera?!

Menyusulnya bukan sehari dua, tetapi memakan bulan! Mana kecekapan seorang Perdana Menteri yang hebatnya mengisytiharkan darurat sebagai alasan untuk menutup Parlimen daripada bersidang dan mengetepikan isu rakyat?

Setelah beberapa bulan rakyat melalui keperitan dan kesusahan, boleh pula bantuan Khas Pemulih lambat disalurkan. Bulan Ogos pula tu!

Sedari awal tahun lagi, rakyat sudah sangat sesak mendepani semua ini. Kata ‘menyusulnya’ mengalahkan lambatnya jalan seekor kura-kura. Adakah tunggu lagi banyak rakyat bergelimpangan disebabkan kerajaan sedia ada lambat bertindak?

Wahai kerajaan yang memerintah, ingatlah bagaimana kisah seorang pemimpin yang sentiasa mengenyang dan mengayakan rakyat itu!

Beliau telah pun diberi kepercayaan memimpin umat Islam ketika usia yang muda. Umar Abdul Aziz ini merupakan seorang yang paling banyak menangis kerana takutkan balasan neraka.

Padahal, jika kita menyelak kembali rekod sepanjang tujuh tahun pemerintahan seorang Umar Abdul Aziz di Madinah, tidak ada langsung rungutan mahupun aduan daripada penduduk Madinah hingga pada akhir beliau menjadi khalifah, tidak ada seorang pun yang berhak menerima zakat.

Beliau juga mengembalikan harta-harta yang dirampas oleh khalifah terdahulu kepada pemiliknya. Bahkan, beliau meminta isterinya menyerahkan barang-barang perhiasan kepada baitulmal untuk diagihkan kepada penduduk yang lebih memerlukan.

Betapa mulianya insan yang bernama Umar bin Abdul Aziz ini, menggunung pengajaran yang kita boleh belajar mengenai ketokohannya.

Apakah pemimpin negara ini tiada sejentik rasa melihat keadaan rakyat yang sangat perit
ini?

Oleh yang demikian, bersamalah kita berdoa dan berusaha untuk meneruskan kelangsungan hidup sambil menjadi manusia yang lebih prihatin terhadap lingkungan yang terdekat, mengambil peduli dan mengetahui keperluan mereka dengan gencarkan solidariti kita untuk membantu sesama.

Jika tidak dapat semua, jangan tinggalkan semua. Tebarkan kasih sayang untuk sama membantu dan peduli, agar tiada lagi rakyat yang berlapar ketika kita mampu mengisi perut dengan makanan.

Moga dengan usaha yang sedikit itu, Allah membantu kita mengembalikan kestabilan dan lkemajuan negara ini di landasan yang diredai-Nya dengan kepimpinan seperti acuan Umar bin Abdul Aziz yang mampu mengenyangkan, mengayakan serta mendekatkan rakyatnya kepada Yang Maha Esa.

Teruskan!

————————————
Penulis ialah Pegawai Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia