Kempen berpasukan pemilihan Pemuda AMANAH bukan rahsia seperti tragedi ‘cai’

Kempen berpasukan pemilihan Pemuda AMANAH bukan rahsia seperti tragedi ‘cai’

Kempen berpasukan yang diusahakan Pemuda AMANAH adalah secara terbuka dengan tanda pagar (hashtag) tertentu mewakili kumpulan dan lebih penting, disertakan dengan gagasan dan idea untuk diteliti perwakilan di setiap peringkat.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata demikian dalam kenyataannya hari ini untuk mengulas reaksi kepimpinan parti berkenaan polemik pemilihan Pemuda AMANAH tahun ini.

“Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan kepimpinan parti sama ada di peringkat negeri mahupun nasional berkenaan polemik pemilihan Pemuda AMANAH merupakan suatu yang amat dialu-alukan.

“Sungguhpun demikian, menjadi tanggungjawab kami untuk memperbetulkan persepsi yang wujud rentetan maklumat separuh masak yang telah tersebar tanpa meneliti duduk letak perkara sebenar,” ujarnya.

Menurut Shazni, pendekatan Pemuda AMANAH berbeza dengan kaedah ‘cai’ yang berlangsung secara rahsia apabila diatur pihak tertentu untuk mempengaruhi perwakilan dengan memilih kumpulan yang diingini.

“Kaedah ini kemudiannya dilengkapkan dengan senarai nama yang hanya tersebar sewaktu hari membuang undi dikenali sebagai ‘cai’,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan pengedaran senarai nama dalam pemilihan parti pernah dialami kepimpinan AMANAH ketika bersama dalam Pas pada pemilihan sempena Muktamar 2015.

Untuk rekod, tragedi ‘cai’ ketika itu menyaksikan sekumpulan pemimpin Pas yang dilabel lebih setia kepada Pakatan Rakyat (nama lama Pakatan Harapan) berbanding Pas ‘gugur setandan’ daripada menduduki saf Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

Garis merah

Mengulas lanjut, Shazni berkata, kempen berpasukan yang sedang digerakkan Pemuda AMANAH ketika ini sebenarnya lebih telus dan bertanggungjawab.

“Bahkan kumpulan-kumpulan ini juga sebahagiannya telah menyertakan profil setiap calon yang mahu bertanding lebih awal, supaya perwakilan boleh meneliti kredibiliti dan prestasi mereka sebelum membuat keputusan di kotak undi.

“Kami tidak menyusun kelompok secara sembunyi-sembunyi, bahkan segala gerak kerja kempen dizahirkan dengan terbuka di media-media sosial.

“Paling utama, garis merah untuk tidak menyerang peribadi sama ada secara langsung atau pun tidak, telah pun disepakati bersama,” tegasnya.

Sehubungan itu, Shazni dengan penuh takzim memohon agar kepimpinan dan senior parti di setiap peringkat maklum dan jelas dengan pembaharuan yang cuba dibawa oleh Pemuda AMANAH dalam meraikan proses demokrasi dalam parti.

“Secara keseluruhannya, kami memahami kebimbangan yang wujud namun usah dikekang pembaharuan yang mahu dikedepankan ini dengan maklumat tidak benar. Sekali lagi, mohon dibezakan ‘cai’ dan kempen berpasukan,” rayunya lagi.

Shazni antara 27 calon dari pasukan Pemuda Bekerja yang diketuai Ketua Pemuda AMANAH Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim. Pasukan tersebut telah melancarkan gagasan 531 mereka di ibu negara pada 30 Julai lalu.

Dua pasukan lagi iaitu Pemuda Bangkit diterajui Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Abbas Azmi manakala Pemuda Wibawa diketuai Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Wan Anwar Wan Ibrahim yang juga Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Ketiga-tiga pasukan tersebut bersaing sempena Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional pada 26 dan 27 Oktober ini bagi mengisi barisan kepimpinan sayap anak muda parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.

Hasnul Zulkarnain mengetuai senarai calon dari Pemuda Bekerja.

Abbas Azmi yang merupakan Ketua Pemuda Selangor mengetuai Pemuda Bangkit.

 

Wan Anwar Wan Ibrahim mewakili pasukan Pemuda Wibawa.