Malaysia Dateline

Kempen: Parlimen dicadang bersidang secara virtual selepas dirasmikan

Kempen sedang rancak dibuat sekarang agar sidang Parlimen disambung secara online (virtual) sebaik sahaja sidang sehari yang dijadualkan pada 18 Mei ini tamat.

Menurut kumpulan Rakyat Prihatin (Concerned Citizens) itu, mereka sedang berkempen mendesak semua ahli Parlimen mengadakan petisyen kepada kerajaan agar sidang Parlimen disambung dan diadakan secara virtual selepas majlis perasmian untuk membincangkan pelbagai perkara mendesak.

“Sidang secara virtual ini membolehkan para ahli Parlimen kita mengekal jarak sosial dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Virtual Parlimen perlu bersidang segera sebaik sahaja selepas Parlimen dibuka oleh Yang Dipertuan Agong Mei (18) ini,” kata kempen yang dihantar kepada semua ahli Parlimen dan orang awam itu.

Antara pihak yang dinamakan dalam kumpulan yang membuat kempen itu adalah Tawfik Ismail, Profesor Tajuddin Rasdi, R Nadeswaran, Johan Ariffin Samad, Siti Kassim, KJ John, Profesor Terence Gomez dan Hussein Hamid.

Persidangan Dewan Rakyat akan diadakan sehari sahaja pada 18 Mei ini bagi memenuhi peraturan.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Abdul Rashid Hasnon, berkata penetapan persidangan sehari itu adalah bagi memenuhi peraturan yang ditetapkan berhubung perjalanan Parlimen.

Katanya, berdasarkan peraturan, setiap enam bulan Parlimen perlu bersidang dan jika mengambil kira tarikh akhir persidangan pada 5 Disember tahun, maka sebelum Jun ia perlu diadakan semula.

Sebelum itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menjelaskan persidangan akan diteruskan dengan langkah-langkah pencegahan yang perlu.

Bagaimanapun langkah pencegahan tersebut akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Ya (Sidang Dewan Rakyat diteruskan). Ia akan diteruskan dengan langkah-langkah pencegahan yang perlu. Akan (langkah pencegahan) dimuktamadkan dalam sedikit masa lagi,” katanya sebagaimana dilaporkan media.

Setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat dalam notis mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14 , 2020 kepada Ahli Parlimen menyatakan istiadat perasmian Parlimen diadakan pada 18 Mei dan serentak itu diadakan mesyuarat Dewan Rakyat.

Dinyatakan, penetapan itu mengambil kira pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana Dewan Rakyat akan diadakan bagi membincangkan Rang Undang-undang dan Usul Kerajaan sahaja serta tiada sesi pertanyaan jawab lisan serta usul daripada Ahli Parlimen.