Malaysia Dateline

Kempen Black 905 protes kerajaan PH ‘suam-suam kuku’

Genap setahun tempoh kerajaan Pakatan Harapan (PH) semalam,mengambil alih kuasa daripada kerajaan terdahulu Barisan Nasional (BN) pihak pembangkang turut melancarkan kempen ‘Hari Hitam Malaysia’ atau Black 905 (memakai baju hitam) sebagai tanda protes terhadap prestasi pentadbiran kerajaan sekarang.

Saidatul Amira

Menerusi pengamatan wartawan di sekitar bandaraya Kuala Lumpur pada Khamis, rata-rata golongan masyarakat tidak mengetahui dan ambil kisah mengenai acara bertemakan ‘Setahun Kerosakan Malaysia’, sekali gus menggambarkan kempen berkenaan ibaratkan seperti ‘suam-suam kuku’ tidak mendapat sambutan hangat sama sekali.

Saidatul Amira, 20, berkata dia tidak tahu mengenai kempen memprotes kerajaan yang dianjurkan parti pembangkang.

“Saya sibuk bekerja.. memang tak tahu langsung pasal perkara ini.. saya pakai baju hitam sebab memang warna kegemaran saya,” katanya yang bekerja sebagai peniaga.

Seorang lagi yang ditemui hanya mahu dikenali sebagai Koh, 57, pula berkata dia tahu mengenai pemakaian baju hitam pada hari ini, namun tidak mengambil kisah tentang perkara itu.

“Saya ada tengok tentang #905 yang sudah tular sebelum ini, namun kerja saya lagi penting daripada memikirkan nak pakai baju hitam.

“Biarlah mereka nak pakai baju warna hitam…yang penting saya cukup makan dan ada kerja yang boleh menyara hidup saya,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Black 905 digerakkan oleh Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat Datuk Lokman Nor Adam itu menggesa rakyat Malaysia berbaju serba hitam sempena sambutan ulang tahun pertama Pakatan Harapan menerajui negara.

Menamakannya sebagai kempen “Black 905” beliau memberi 6  sebab untuk membantah termasuk janji-janji yang tidak ditunaikan dan “kemusnahan” yang dikatakan membabitkan kedudukan istimewa Islam,hak bumiputera, bahasa Melayu dan kedudukan Raja-Raja.

Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno itu memilih lokasi di pusat membeli belah Mid Valley untuk mengadakan protes pada petang Khamis, ketika Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).