Malaysia Dateline

Kempen Sarawak keluar Malaysia, menteri tidak buat apa-apa kenyataan, kata Salahuddin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin kelmarin membentangkan usul di Dewan Rakyat untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Cadangan pelanjutan tempoh bagi penahanan individu yang ditangkap dan ditahan mengikut SOSMA sehingga 28 hari mengundang kritikan di pihak blok pembangkang.

Berikut hujah Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika membahaskan usul berkaitan akta tersebut:

Saya mendengar dengan teliti penjelasan Yang Berhormat Menteri. Panjang lebar tentang pelanjutan kepada akta ini dan saya tidak ada masalah bila beliau berhujah tentang faktor keselamatan negara.

Terms of national security, we are on the same page. Itu tidak ada masalah. Cuma, saya terkilan di bahagian akhir ucapan Yang Berhormat Menteri yang mengatakan bahawa sekiranya ada di kalangan kami (pembangkang) yang menolak akta ini maknanya kita tidak sayangkan negara.

Kempen keluarkan Sarawak dari Malaysia, menteri tidak buat apa-apa kenyataan

Sejarah membuktikan bahawa penghapusan atau pun the abolishment of Internal Security Act (ISA) tahun 2020 itu adalah manifestasi kepada kezaliman akta itu sendiri.

Itu jangan kita dan Parlimen menafikannya kerana puluhan tahun, akta itu disalahgunakan, yang asalnya adalah untuk menahan atau pun mencegah ancaman komunis pada waktu itu.

Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri pada waktu itu yang membentangkan akta di Dewan ini memberikan jaminan tidak akan ada orang politik yang akan ditahan di bawah akta ini kerana waktu itu fokusnya adalah kepada ancaman komunis dan pergerakan mengangkat senjata melawan negara dan Yang di-Pertuan Agong.

Akan tetapi setelah masa berlalu, mungkin Yang Berhormat tidak masuk ISA, tetapi rakan-rakan ramai yang masuk ISA. Bukan isu 28 hari, 30 hari, masa itu 60 hari.

Pada saya bukan masalah 60 atau tiga hari, tetapi bagaimana mangsa-mangsa itu dizalimi during under the police custody itu yang tidak boleh kita nafikan.

Saksi di bahagian sini yang paling utama adalah Yang Berhormat Shah Alam yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Yang Berhormat Kota Raja, Yang Berhormat Bagan dan ramai lagi pada waktu itu. Yang Berhormat Port Dickson dan ramai lagi juga di sebelah sana yang menjadi pihak kerajaan.

Waktu Pakatan Harapan (PH) mengambil alih teraju pemerintahan, kita telah sempat untuk berbincang dalam Kabinet supaya akta ini disemak semula dan kita memanggil Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang pernah menjadi Ketua Polis Johor dan hari ini beliau mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman untuk memberikan keterangan pada waktu itu.

Kita menggunakan istilah review. Saya faham negara perlu ada undang-undang untuk membanteras keganasan, perkauman.

Yang Berhormat juga hari ini setelah menjawat jawatan Menteri, faham isu agama yang dimainkan. Bagaimana ayat-ayat Allah itu begitu mudah untuk ditiupkan semangat jihad dan seumpamanya.

Golongan-golongan yang memperjuangkan hak asasi manusia ada dua yang ekstrem. Sebelah sana pun ekstrem, sini pun ekstrem. Kita perlu mengambil tindakan.

Adakah Yang Berhormat sedar semasa PRN Sarawak ada parti yang berkempen untuk – dengan sengaja untuk mengeluarkan Sarawak dari Malaysia.

Akan tetapi saya lihat Yang Berhormat tidak membuat apa-apa kenyataan pada waktu itu. Jadi, ini semua adalah penting untuk negara. Bagi saya, perlu ada undang-undang. Akan tetapi, saya tetap bersetuju dengan kawan-kawan di sini bahawa prosedur itu mesti dimurnikan.

Kuasa polis mesti dipantau dan dihadkan supaya tidak berlaku kezaliman kepada mana-mana tahanan di bawah akta ini.

Jadi, Tuan Yang di-Pertua, saya rasa perkara ini wajar untuk kita fikirkan bersama dan kita mengambil sikap selagi mana tidak ada pemurnian yang jelas, kita menolak usul ini. Terima kasih.

Baca juga: