Malaysia Dateline

Kempen kibar bendera hitam bermula, #lawan trending

Kempen kibar bendera hitam mula digerakkan jam 3 petang ini sebagai tanda berdiri melawan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketika ini di Twitter #lawan telah trending sebanyak 43.8k sebaik sahaja kempen bendera hitam bermula jam 3 petang ini.

#lawan ketika ini terus menunjukkan peningkatan mendadak dalam jangka masa singkat.

Manakala ketika ini #benderahitam sudah mencecah 9.4k tweet.

Dalam pada itu tinjaun di media sosial mendapati netizen menggunakan plastik sampah, baju, dan pelitup muka  sebagai bendera hitam.

Bukan itu sahaja, terdapat netizen membuat video berlari sambil mengibar bendera hitam di twitter @encomuazz.

Menurut Sekretariat Solidariti Rakyat, antara tujuan kempen kibarkan bendera hitam seluruh negara adalah untuk, menuntut Tan Sri Mahiaddin Md Yassin meletak jawatan, membuka Parlimen dengan segera serta menamatkan darurat.

Bagi menzahirkan kekecewaan rakyat terhadap kegagalan Mahiaddin Yassin serta barisan kabinet PN, Sekretariat Solidariti Rakyat Malaysia menyeru seluruh rakyat Malaysia yang bersetuju dengan ketiga-tiga tuntutan untuk:

Mengibarkan bendera hitam pada 3 Julai 2021 (Sabtu), dihadapan rumah/kedai/jalan atau tempat-tempat lain yang sesuai;

Ambil gambar dan hantarkan di media sosial anda secara serentak pada jam 3 petang;

Gunakan tanda pagar #Lawan pada setiap hantaran anda.

Tindakan ini adalah sebagai simbolik bagi mendesak agar kesemua tuntutan dilaksanakan segera. Sekretariat Solidariti Rakyat bersedia untuk turun ke jalanraya sekiranya tuntutan-tuntutan ini tidak diendahkan.

Untuk rekod, pada semalam kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur selepas sebulan negara berada di bawah perintah berkurung.

Perkara tersebut menimbulkan kemarahan orang ramai yang mula mempertikai kewajaran kerajaan berbuat demikian walhal rakyat sudah pun diberi arahan berkurung selama sebulan.