Kempen Larian Tabung Harapan Malaysia 14 Ogos depan

Kempen Larian Tabung Harapan Malaysia 14 Ogos depan

Kutipan RM1 juta disasarkan untuk Tabung Harapan Malaysia menerusi program Larian Harapan, yang bakal diadakan di Dataran Merdeka, di sini pada 14 Ogos depan.

Larian yang bermula pada 7.30 pagi berkonsepkan Fun Run sejauh lima kilometer itu bertujuan mengumpul sumbangan untuk Tabung Harapan, selain menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kota.

Pengarah Urusan Asia Galaxy Event yang juga penganjur program K. Chandran

berkata acaran cetusan idea Anggota Parlimen Batu P. Prabakaran itu dijangka menarik kira-kira 20,000 peserta daripada segenap golongan umur bermula seawal lima tahun ke atas.

“Jumlah keseluruhan yuran pendaftaran akan disalurkan kepada Tabung Harapan dan peserta juga boleh membuat sumbangan ikhlas tambahan kepada Tabung Harapan menerusi laman web yang disediakan semasa membuat pendaftaran.

Selain program itu, Karnival Harapan Belia juga akan diadakan dengan pengisian pelbagai aktiviti antaranya jualan makanan tempatan, persembahan nyanyian dan tarian, ” katanya dalam sidang media program Larian Harapan hari ini.

Chandran berkata bayaran pendaftaran RM35 bagi kanak-kanak manakala RM50 bagi orang dewasa boleh dibuat dengan melayari http://CheckPointSpot.asia/Harapan.

Pada minggu lepas, kutipan Tabung Harapan Malaysia telah melebihi RM150 juta hasil sumbangan individu dan pelbagai organisasi di Malaysia.