Malaysia Dateline

Kempen ‘Let’s Talk Malaysia’ bina kesedaran kepentingan kesihatan minda

Kempen kesedaran kesihatan mental Nasional, Let’s Talk Malaysia merupakan satu inisiatif baharu yang akan dikendalikan setiap Oktober bagi membina kesedaran rakyat tentang kepentingan kesejahteraan kesihatan minda dan membanters stigma kesihatan mental.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, program melibatkan beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dilihat sangat penting kerana platform itu secara langsung dapat menyumbang kepada kefahaman mengenai kategori penyakit-penyakit mental.

“Stigma berpandangan buruk terhadap mereka yang mengalami gangguan kemurungan, kebimbangan, stres dan termasuk sekali seperti disebutkan YB Tenggara tentang panic attack di Pasir Gudang.

“Keseluruhan perkara itu kita tidak dapat atasi, kecuali masyarakat sendiri mempunyai kesedaran dan kesediaan untuk melihat sesiapa sahaja boleh terkena penyakit mental ini.

“Sesiapa pun boleh terkena penyakit kemurungan dan stres yang sekali gus akan menjejaskan seseorang itu daripada melakukan kerja sehariannya.

“Kalau kita tidak dapat menjalankan tugas seharian dalam tempoh dua minggu, secara teknikalnya sudah dianggap sama ada terkena penyakit kemurungan atau stres dan memerlukan rawatan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Adham Baba di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Dr Adham (BN-Tenggara) meminta Dr Dzulkefly (PH-Kuala Selangor) menyatakan inisiatif Kementerian Kesihatan dalam usaha mengelakkan orang ramai berasa takut untuk datang apabila disebut perlu merujuk ke Hospital Tampoi atau Tanjung Rambutan.