Kempen PDM di PRK Semenyih sudah masuk ‘gear lima’

Kempen PDM di PRK Semenyih sudah masuk ‘gear lima’

Sudah masuk ‘gear kelima’. Begitulah gambaran suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang semakin agresif berkempen dalam usaha mereka menawan hati pengundi.

Hanya berbaki empat hari sebelum hari pengundian Sabtu ini, di kiri kanan jalan di sekitar DunSemenyih, perang poster dan bendera parti-parti memeriahkan lagi suasana kempen, ditambah dengan kenderaan melaungkan pujukan untuk mengundi mereka dengan menggunakan pembesar suara.

Di markas PDM Pakatan Harapan (PH) di Beranang, Batu 26 dan Sesapan Batu Rembau misalnya, kempen mendekati pengundi dijalankan secara aktif dari ‘pagi hingga ke pagi’ dengan pelbagai usaha dibuat bagi memastikan undi penduduk memihak kepada mereka.

Lebih 50 petugas terutama daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak ditempatkan di setiap tiga PDM tersebut membuatkan mereka ‘cukup tangan’ untuk mendekati kira-kira 2,600 pengundi berdaftar yang memfokuskan kepada pelbagai manfaat yang diterima rakyat Selangor sejak 2008, selain aspirasi kerajaan.

Menurut Ketua Armada Bersatu Perak Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh, sambutan yang diterima mereka amatlah positif dan memberangsangkan termasuklah di kawasan PDM yang sebelum ini dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) iaitu Batu 26 dan Batu Sesapan Rembau.

“Cabaran untuk menawan hati pengundi di sini tetap ada justeru kami lebih memilih untuk mendekati mereka secara terus dan berdepan dengan mengurangkan ceramah kelompok…cara kami dengan lebih bersembang, mendengar pendapat, keluhan dan apa jua permasalahan yang dihadapi di sekitar tiga PDM ini.

“Maka hasil daripada program dan pertemuan terutamanya di dua PDM milik BN, kita dapat melihat corak perubahan yang begitu ketara di mana pengundi-pengundi di sini memperlihatkan sokongan yang meningkat kepada PH,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Ketua PDM PH bagi kawasan Bandar Tasik Kesuma, Abu Mansor Mohammad berkata kempen PH bagi kawasan itu tertumpu kepada usaha untuk menjawab serangan pihak pembangkang terutamanya melibatkan isu manifesto kerajaan.

Menurutnya, PDM bawah kendaliannya yang merupakan antara PDM dengan jumlah pengundi terbesar di Semenyih iaitu seramai 4,492 pengundi itu mempunyai seramai 20 petugas tempatan yang cukup berdedikasi, selain mendapat bantuan parti komponen PH dari Negeri Sembilan bagi membantu gerak kerja mereka.

“Kita juga menggunakan sistem syif di mana setiap petugas bergilir-gilir bertugas semasa berkempen, kita bekerja tidak berkira ada sampai lewat malam untuk ceramah dan memasang bendera,” katanya.

Abu Mansor berkata pada pilihan raya umum lalu, PDM Bandar Tasik Kesuma telah dimenangi PH dengan majoriti kira-kira 1,200 undi dan semestinya tanggungjawabnya lebih berat kini bagi mempertahankan kawasan itu.

“Beberapa hari yang tinggal kita akan lebih agresif dalam berkempen dan pergi ke kawasan yang belum lagi kita pergi. Kita juga akan mempertingkatkan gerak kerja menyampaikan risalah, anjur program ceramah dan ke pusat tumpuan orang ramai,” katanya.

Ketua Pusat Daerah Mengundi Kampung Sesapan Batu Minangkabau PH, Amran Sharudin pula berkata pihaknya lebih menumpukan kaedah berkempen secara bersemuka dengan para pengundi di kawasan yang dianggap kubu kuat BN itu, kerana cara demikian lebih berkesan kerana mereka boleh menerangkan dasar-dasar kerajaan negeri dan program-program kebajikan dengan lebih jelas.

“Jentera kami bergerak dari rumah ke rumah, ke kedai kopi dan pasar pagi yang menjadi tumpuan orang kampung berkumpul, sejak hari pertama kempen pada 16 Feb lepas,” katanya.

Bagi BN pula, Ketua PDM Semenyih Barat Hamdan Abu berkata mereka bekerja keras membantu calon BN Zakaria Hanafi untuk menang di kerusi DUN Semenyih itu, meskipun terpaksa berhadapan dengan cabaran memandangkan PDM itu dimenangi oleh PH sebelum ini.

“Sokongan akan ada turun naik maka kami perlu berusaha untuk turun ke kawasan yang sama berulang kali untuk berkempen bagi memastikan sokongan kepada kami berterusan dan tidak pudar, dan sekali gus menawan PDM yang dikuasai PH ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua PDM Sungai Kembung Ahmad Ariffin mempunyai keyakinan tinggi bahawa PDM di bawah kendaliannya itu akan sekali lagi dapat membantu peratusan undian BN, sekali gus membolehkan PDM tersebut dikuasai BN sekali lagi.

“Dengan kehadiran pemimpin tertinggi parti yang turut serta berkempen tidak mustahil PDM ini boleh mengekalkan penguasaannya bahkan menyumbang jumlah undi lebih banyak dari dahulu,” katanya.

Sementara itu, anggota Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan yang juga Pengarah PRK Dun Semenyih parti itu, berkata calon dan jentera kempennya sudah berkempen hampir ke semua ceruk di dalam Dun Semenyih dan akan memperhebatkan lagi kempennya menjelang hari mengundi.

“Bagi minggu terakhir ini, kami berkempen secara menyeluruh tetapi akan lebih mendekati ‘key voters’ di sini, iaitu anak muda, pengundi Cina dan juga pengikut Pas.

“Kita juga mahu mengubah persepsi awam terhadap calon PSM sebagai pemecah undi, sebaliknya sebagai calon wakil rakyat yang boleh membawa suara rakyat,” katanya sambil menambah sambutan yang diterima terhadap calonnya, Nik Aziz Afiq Abdul dilihat memberangsangkan dan berpotensi untuk memenangi hati pengundi.

PRK Dun Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH Muhammad Aiman Zainali, calon BN Zakaria Hanafi, calon Bebas Kuan Chee Heng dan Nik Aziz Afiq Abdul daripada PSM.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili PH pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung. Pada PRU ke-14, PH merampas Semenyih daripada BN dengan majoriti 8,964 undi, dan daripada 23 PDM di Dun Semenyih, PH menang 13 manakala BN menguasai 10.- BERNAMA