Malaysia Dateline

Kempen pecat Adham Baba dibuat melalui petisyen online

Satu petisyen yang mendesak agar Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba digugurkan jawatannya dilancarkan susulan isu kontroversi petua air suam dan kredibilitinya yang ketika ini dikatakan tidak berperanan sebagai seorang Menteri.

Petisyen itu dilancarkan di laman change.org kira-kira empat minggu lepas dan ia mula disebarluaskan selepas Menteri terbabit sekali lagi meraih perhatian di media sosial.

Kali ini beliau mengatakan telah membuat telesidang video bersama 500 buah negara dalam satu video bersama Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Setakat jam 3 petang tadi, petisyen berkenaan mendapat hampir 4,700 sokongan dari sasaran sebanyak 5,000.

Petisyen berkenaan dimuat naik oleh netizen yang menggunakan nama Lukman Khalid.

Menerusi desakan itu, pengguna terbabit mendakwa Adham gagal untuk memimpin dan meyakinkan rakyat Malaysia mengenai perkembangan terbaru pandemik tersebut.

Sebaliknya, kerja-kerja tersebut telah dilepaskan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

“Nasihat beliau di program Bicara Naratif untuk rakyat Malaysia meminum air suam untuk membunuh virus coronavirus menyebabkan kredibiliti beliau sebagai seorang Menteri Kesihatan dipersoalkan dan diragui

“Malaysia tidak memerlukan sebuah pasu bunga yang terisi dengan air suam sebagai Menteri Kesihatan. Gugurkan Adham Baba,” tulis petisyen itu.

Terdahulu, petikan perbualan video antara Adham dan Zahid ditularkan netizen, yang rata-ratanya menjadikan kenyataan Menteri itu sebagai bahan jenaka.

Sebelum ini, Dr Adham turut menjadi bualan netizen apabila menggalakkan meminum air suam sebagai satu cara membendung Covid-19.