Malaysia Dateline

Kempen PRK peluang dalami permasalahan penduduk, kata Karmaine

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Karmaine Sardini mahu menggunakan kempen PRK berkenaan sebagai peluang mendalami setiap permasalahan yang dihadapi penduduk di kawasan Parlimen itu.

Selain itu, beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai mahu menerangkan mengenai hasrat PH untuk penduduk di kawasan Parlimen Tanjung Piai dan juga untuk rakyat Malaysia..

Karmaine, 66, berkata untuk itu, beliau dan jentera parti juga akan fokus kepada semua pusat daerah mengundi (PDM) dan tidak hanya menumpukan PDM berdasarkan keputusan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mei tahun lepas.

” Saya akan cuba berjumpa seluruh penduduk khususnya pengundi Tanjung Piai….dan saya kena fokus seluruh (PDM) dan bukan hanya ikut keputusan PRU14 sahaja kerana kena jumpa semua orang di kawasan Parlimen ini sebab setiap kawasan itu mempunyai masalah yang berbeza,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Forum Kopitiam’, di Pekan Nanas hari ini.

Ditanya tentang dakwaan bahawa kempen dan program PH sewaktu PRK ini kurang mendapat sambutan orang ramai, Karmaine berkata perkara itu tidak membimbangkan beliau.

“Macam program pagi ini, biasalah benda pagi, ramai yang bekerja tetapi kami tetap kena buat program (atau berkempen),” tambahnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 Nov sebagai hari mengundi PRK Tanjung Piai, manakala pengundian awal pada 12 Nov ini.

PRK itu menyaksikan pertandingan enam penjuru melibatkan Karmaine dengan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (Gerakan), dan Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) serta dua calon Bebas ialah Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

PRK tersebut diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Pada PRU14, Allahyarham Md Farid yang mewakili PH menang dengan majoriti 524 undi menewaskan Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas).

— BERNAMA