Kempen provokasi tarik sentimen kebencian, kata Umno

Kempen provokasi tarik sentimen kebencian, kata Umno

Tindakan menaikkan papan iklan bersifat provokasi dan perkauman yang didirikan di kawasan Pekan Sekinchan di sini merupakan kempen membangkitkan sentimen kebencian untuk menarik pengundi.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata kempen berbentuk provokasi yang dimainkan pihak pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar itu sangat tidak bertanggungjawab.

“Itu sudah mula menjurus ke arah kempen tidak sihat dan tidak seharusnya berlaku, lebih-lebih lagi berkempen dalam bulan Ramadan.

“Saya melihat ini merupakan usaha untuk menimbulkan kemarahan kaum dan adalah sangat-sangat tidak bertanggungjawab. Ia patut ditolak di kempen Sungai Besar mahupun di Kuala Kangsar,” katanya selepas melakukan tinjauan mesra di Kampung Nelayan, Sungai Haji Dorani, semalam.

Papan iklan yang tertera gambar beberapa pemimpin utama parti yang tertera kenyataan bersifat perkauman itu telah mencetuskan ketidakpuasan hati penyokong Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, papan iklan itu kemudian diturunkan oleh petugas SPR menyebabkan segelintir pemimpin pembangkang yang berada di situ tidak berpuas hati dan cuba mempersoalkan kewajaran berbuat demikian.

Menurut Khairy, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah pun memberi peringatan kepada semua agar berkempen secara berhemah tanpa menyentuh isu perkauman, kontroversi dan serangan peribadi, namun masih ada dalam kalangan pihak pembangkang yang tidak mempedulikan soal itu.

“Saya harap kita dapat mengelak daripada politik yang tidak sihat ini sebab billboard (papan iklan) dan banner itu merujuk kepada kenyataan yang tidak tahu sama ada kenyataan itu betul atau tidak… itu kena tanya tuan empunya badan la,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad menafikan sebarang pembabitan parti itu atau sekutunya dengan papan iklan dan banner tersebut.

“Tidak, kami tidak meletakkan papan iklan seperti itu kerana kami tidak mengamalkan kempen buruk seperti itu,” katanya dalam sidang media.

Mengulas kenyataan penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa calon Amanah, Azhar Abdul Shukur mempunyai peluang tipis untuk menang pada PRK itu, Khalid berkata ia adalah lebih baik daripada tiada peluang langsung.

PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN iaitu Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi; calon Pas yang juga Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman dan calon Amanah, Azhar Abdul Shukur yang mewakili Pakatan Harapan.

TAGS