Kempen semakin sengit, BN umpan kereta, Pas guna gambar Nik Aziz

Kempen semakin sengit, BN umpan kereta, Pas guna gambar Nik Aziz

Bermodalkan dana yang melimpah, BN dilihat menggunakan apa cara sekalipun umpan untuk memancing 1,138,650 pengundi pada 7 Mei ini.

Di N.43 Daro dan N.44 Jemoreng, dua daripada 13 kerusi ditandingi Amanah, BN menawarkan hadiah lumayan untuk menarik kehadiran orang ramai ke program kempen yang dijadualkan akan dihadiri oleh Najib.

Berlangsung hari ini, hadiah cabutan bertuah berupa sebuah kereta Proton dan dua unit motosikal itu dikatakan belum pernah ditawarkan dalam mana-mana lawatan Najib yang juga Pengerusi BN ke Sarawak sebelum ini.

Untuk rekod, kedua-dua kerusi Dun itu yang berada dalam Parlimen Igan masing-masing mempunyai seramai 8,491 dan 9,699 pengundi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011, BN melalui parti tulang belakangnya di Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menang dengan majoriti undi yang dilihat cukup selesa.

Di Daro, calon PBB-BN, Murni Suhaili menang dengan majoriti 3,197 undi manakala Abu Seman Jahwie menang di kerusi Jemoreng dengan majoriti 2,926 undi.

Selain itu, Pas juga dilihat dalam situasi terdesak memandangkan PRN ke-11 kali ini menyaksikan pertembungan dengan Amanah yang lahir akibat kepincangan kepimpinan Pas di bawah Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Pas berentap dengan Amanah di lima kerusi Dun iaitu di Beting Maro, Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya dan Sebuyau.

Di Beting Maro, Pas diketahui umum berharap untuk menyambut ‘anak sulung’ pada PRN kali ini memandangkan penyandang, Ghazali Gapor dari PBB hanya mendapat majoriti tipis 391 undi pada PRN 2011. Bahkan, pada PRN ke-10 itu, Pas dikatakan berhabis wang lebih RM1 juta sepanjang tempoh berkempen.

Barangkali menyedari pendekatan politik mereka yang sudah jauh berbeza pada masa ini, Pas dilihat cuba “menyembunyikan” imej Presiden yang ditaati, Hadi Awang dalam kempen mereka.

Hal ini dapat dilihat dengan penonjolan hanya gambar Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada lencana kempen yang diedarkan di Beting Maro.

Sumber memberitahu, sekumpulan ahli Pas mengagihkan bahan kempen itu yang turut memaparkan calon Hamidah Mokhtar ketika beliau berada di sekitar Hotel Phoenix Inn, Kalok di Pusa baru-baru ini.

Aktivis Amanah itu berpendapat Pas mungkin tidak menyedari BN telah membawa masuk lebih 3,000 pengundi baharu di Beting Maro pada PRN kali ini.

Untuk rekod, seramai 226 calon bertanding pada PRN yang kali pertama Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dengan 111 daripadanya adalah dari enam parti pembangkang.

Selain Amanah yang bertanding di 13 kerusi, PKR mempertaruhkan 40 calon manakala 31 kerusi ditandingi DAP dan Pas hanya di 11 kerusi Dun.

Parti pembangkang di Sarawak, Parti Reformasi Negeri (Star) bertanding di 11 kerusi manakala Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS) bertanding di lima kerusi.

TAGS