Malaysia Dateline

Kempen ‘Senyum untuk Lim Guan Eng’ tersebar di media sosial

Pengguna media sosial semacam membuat kempen ‘senyum untuk Lim Guan Eng’ selepas beliau didakwa hanya kerana senyum kepada pihak yang menawarkan wang itu selepas ditawarkan 10 peratus dari keuntungan projek terowong bawah tanah Pulau Pinang.

Pelbagai pengguna aktif facebook dan lain-lain media sosial membuat kempen senyum tersebut sebaik sahaja bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dibawa ke mahkamah dan kertas pendakwaan serta kenyataan saksi tersebar di media sosial.

DAP pula melancarkan kempen kutipan derma RM10 seminggu ‘Solidarity with Guan Eng’.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Guan Eng ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperolehi daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Suapan itu balasan sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, pada Mac 2011 dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Mengikut kenyataan Zarul yang tersebar di media sosial pula, Lim Guan Eng hanya tersenyum selepas beliau menawarkan 10 peratus dari keuntungan projek itu tanpa berkata tidak atau ye mengenainya.

“Saya memberitahu Lim Guan Eng yang saya akan memberikan 10% dari keuntungan projek itu kelak. Saya tidak dapat sahkan, samada Lim Guan Eng ada bertanya berapakah yang saya akan berikan kepada beliau.

“Maksud 10% adalah wang rasuah saya akan berikan kepada Lim Guan Eng.

“Lim Guan Eng kelihatan tersenyum setelah saya mengatakan hendak memberikan 10% wang rasuah itu. Lim Guan Eng tidak mengatakan No atau tidak mahu kepada saya,” kata Zarul dalam kenyataan beliau sebagai saksi yang kini tersebar di media sosial.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua pula dalam kenyataannya medianya berkata, kempen RM10 seminggu untuk Lim Guan Eng itu dilancarkan untuk membantu beliau membayar jaminan RM1 juta yang dikenakan ke atas beliau.

“Kami telah membayar RM500,000 menerusi pinjaman yang kami buat dari para penyokong dan akan membayar RM500,000 lagi Isnin ini (esok) kepada mahkamah,” kata Tony Pua.