Kempen sudah liputi 100 peratus kawasan Tg Piai, kata Karmaine

Kempen sudah  liputi 100 peratus kawasan Tg Piai, kata Karmaine

Tinggal hanya lima hari lagi menjelang pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini mengakui kempennya sudah meliputi 100 peratus kawasan parlimen itu dan kini kempennya memasuki pusingan kedua.

Karmaine berkata baki beberapa hari tempoh berkempen ini akan digunakan sepenuhnya dengan pendekatan berkempen rumah ke rumah.

“Kita dah ‘cover’ (berkempen) 100 peratus kawasan Tanjung Piai…untuk pecutan terakhir, kita akan terus menziarah dan berkempen dari rumah ke rumah.

“…sehingga hari ini, melihat kepada sambutan yang diterima ketika berkempen, saya yakin kita mampu mempertahankan (kemenangan) kerusi ini,” katanya kepada Bernama ketika berkempen di Parit Sulaiman dekat Teluk Kerang dekat sini hari ini.

Jelasnya, strategi minggu akhir berkempen ini beliau bersama jentera akan memfokuskan berkempen rumah ke rumah pada sebelah siang, manakala ceramah kelompok pada sebelah malam.

Ditanya mengenai persiapan kehadiran Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamand, yang dijangka hadir pada ceramah perdana PH Rabu ini, Karmaine yakin ia akan meningkatkan sokongan kepada PH.

Beliau turut yakin dan berterima kasih kepada semua pemimpin daripada parti komponen PH yang turut turun ke Tanjung Piai membantu kempennya.

“Kita sudah bersedia untuk kehadiran Tun (Tun Dr Mahathir) untuk ceramah perdana di Kukup nanti. Malah malam ini, kita akan bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 Nov ini, susulan kematian Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Karmaine yang merupakan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai berdepan saingan calon Barisan Nasional (BN), Gerakan, Berjasa dan dua calon bebas.– BERNAMA