Kempen Tabung Pahlawan dilancarkan 19 September ini

Kempen Tabung Pahlawan dilancarkan 19 September ini
Dr Zakir Naik

 

Kempen Tabung Pahlawan yang dilaksanakan sejak 1 Ogos lalu sehingga 31 Disember 2019, akan dilancarkan pada 19 September ini, bertempat di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementah, Kuala Lumpur.

Kempen tersebut akan dilancarkan oleh Penaung Tabung Pahlawan, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka turut bersama dalam majlis tersebut.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata kempen itu diadakan bertujuan untuk mengumpul dana dan membantu terutamanya veteran ATM yang berada dalam kategori golongan orang kurang upaya (OKU), selain balu kepada anggota turut perlu dibantu.

“Selain itu, matlamat kempen ini juga adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa keamanan yang kita kecapi ketika ini merupakan hasil pengorbanan pasukan keselamatan negara, khususnya ATM.

“Dalam kempen ini, mungkin di sekolah atau di mana-mana walaupun ada yang menderma 10 sen atau 20 sen, bagi saya jumlah derma itu bukan ukuran. Ini kerana kesedaran tentang peranan ATM kepada negara dilihat lebih penting berbanding jumlah sumbangan.

“Para usahawan yang membuat keuntungan besar kerana adanya keamanan di negara kita. Maka pengorbanan anggota ATM perlu dihargai oleh rakyat terutamanya ahli-ahli perniagaan supaya mereka juga dapat memberi sumbangan kepada tabung tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rancangan bual bicara Borak Kopitiam bertajuk ‘Kempen Tabung Pahlawan’, di TV3, hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad

Dalam pada itu, Dzulkarnain menjelaskan, pihaknya mempunyai tiga kaedah bagi melaksanakan kutipan sumbangan tabung berkenaan iaitu pertamanya, sumbangan melalui kutipan jalanan, kedua, menggunakan nombor akaun dan yang ketiga sumbangan menerusi atas talian (online).

Jelasnya, ketiga-tiga kaedah itu disediakan bagi memudahkan masyarakat menghulurkan sumbangan kepada pahlawan negara yang berkorban selama ini menjaga keamanan negara tercinta daripada sebarang ancaman.

“Dana yang kita perolehi daripada kempen ini akan dimanfaatkan untuk menampung apa yang sedia ada pada JHEV ATM. Di bawah JHEV memang ada dana-dana untuk kebajikan, tetapi kita ada 300,000 veteran yang hendak dibantu.

“Dana yang disumbangkan ini akan membantu lagi veteran-veteran terutamanya kepada golongan OKU, balu tentera dan anak-anak dalam kategori OKU. Selain itu, dana ini turut digunakan untuk veteran yang terlibat dalam bencana alam seperti banjir, kebakaran.

“Kita tidak mahu lihat veteran-veteran yang bergelar pahlawan ini hidup dalam keadaan daif,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun 1059 5000 3201 (Affin Bank).