Malaysia Dateline

Kempen Tabung Pahlawan melebihi sasaran cecah RM9.1 juta sejak dilancar

Kempen Tabung Pahlawan 2019 berjaya melebihi sasaran minimum selepas memperolehi sebanyak RM9,196,379.15 sejak ia mula dilancarkan pada Ogos lalu.

Antara penyumbang terbesar ialah ADAP 4orty Global Sdn Bhd yang menyumbang RM1 juta dan tajaan RM400,000, diikuti dengan Yayasan Al-Bukhary, dan Weststar Group yang masing-masing menyumbang wang tunai sebanyak RM1 juta.

Susulan itu, Menteri Pertahanan, YB Mohamad bin Sabu berkata sehingga hari ini, jumlah kutipan yg diperolehi telah berjaya melepasi sasaran awal kutipan iaitu sebanyak RM6 juta dan beliau merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada yang telah menyumbang dalam kempen ni.

Mohamad Sabu ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kempen Tabung Pahlawan yang diadakan malam tadi.- Foto FB Mohamad Sabu.

Menurut beliau lagi, pelbagai insiatif telah dijalankan oleh pihaknya di antaranya ialah beberapa promosi yang dilaksanakan melalui pelbagai platform untuk menguar-uarkan kepada segenap pelusuk negara. Ia termasuk kepada mengadakan program seperti semarak kasih veteran: Food for Gelandangan, Kempen Derma Darah dan juga beberapa siri ‘flash mob’ di sekitar kawasan Kuala Lumpur.

“Saya bagi pihak Kementerian Pertahanan dengan berbesar hati merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbangf dalam kempen ini,” ujarnya dalam kenyataan.

Majlis ini turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah selaku Penaung Tabung Pahlawan, Panglima-panglima Perkhidmatan, Pengurusan Tertinggi MinDef, Pegawai Kanan Awam & tentera serta warga veteran.

Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali memetik biola sambil diiringi Datuk Seri Siti Nuhaliza. -Foto FB Mohamad Sabu.