Kempen Tabung Pahlawan sasar kutipan mininum RM6 juta

Kempen Tabung Pahlawan sasar kutipan mininum RM6 juta
(tiga dari kiri) Mohamad Sabu ketika sidang media diadakan mengumumkan mengenai Kempen Tabung Pahlawan.

Kementerian Pertahanan mensasarkan kutipan mininum sebanyak RM6juta sempena Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2019 sebagai mengenang jasa dan bakti para pahlawan negara.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, sumbangan berkenaan bertujuan untuk diagihkan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tanggungan mereka yang memerlukan bantuan.

Beliau berkata, sumbangan itu juga akan disalurkan untuk bantuan kebajikan kepada veteran ATM dan ahli keluarganya yang merangkumi Veteran Kelainan Upaya (VKU), bantuan khas balu dan anak-anak dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU).

“Selain itu, kita juga akan memberi bantuan kebajikan kepada veteran yang terlibat dalam musibah kebakaran dan bencana alam, bantuan kerusi roda dan bantuan pengurusan jenazah.

“Justeru itu, saya menyeru kepada semua sebagai warganegara yang prihatin, marilah kita sama-sama menghulurkan sumbangan derma ikhlas sebagai tanda terima kasih atas hadiah keamanan dan keselamatan yang kita nikmati pada masa ini.

“Sememangnya wang ringgit bukanlah tukaran kepada keamanan, namun ianya sebagai lambang kita berbahasa kepada mereka yang telah berbudi.

“Budi yang digalang ganti dengan darah, keringat dan air mata oleh para pahlawan dan keluarga mereka,” katanya dalam ucaptama sempena Majlis Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2019, di Wisma Perwira ATM, Jalan Semarak  malam tadi.

Tun Siti Hasmah Mohd Ali menyerahkan sumbangan kepada penerima Tabung Pahlawan yang terdiri daripada anggota veteran ATM kelainan upaya dalam majlis yang diadakan di Wisma Perwira.

Turut hadir, Penaung KTP, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Tabung tersebut telah dilancarkan oleh Penaung KTP, iaitu Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sambil disaksikan Mohamad dan Zulkifli.

Dalam majlis yang sama, lima orang veteran ATM yang terpilih telah menerima sumbangan kebajikan di atas jasa mereka mempertahankan negara sehingga mengalami kecederaan seperti buta penglihatan akibat terkena jerangkap samar dan cedera di tangan akibat serpihan bom.

Kempen Tabung Pahlawan adalah acara tahunan sempena Hari Pahlawan dan pada tahun ini, Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM telah dipertanggungjawabkan untuk menganjurkan Kempen Tabung Pahlawan dengan kolaborasi Persatuan Veteran ATM.