Malaysia Dateline

Kempen TamatDarurat bergema di Pasar Seni malam tadi

Kempen TamatDarurat mula turun ke akar umbi masyarakat negara ini apabila pengerusi Jawatankuasa kempen itu, Khalid Samad turun berkempen di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur malam tadi.

Kempen itu dibuat sambil mereka menyantuni gelandangan di sekitar Pasar Seni atau Central Market, Kuala Lumpur.

Turut serta bersama Khalid adalah Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Dr Hatta Ramli dan pemimpin AMANAH Wilayah Persekutuan.

Sebelum bertemu gelandangan bagi menyantuni mereka, Khalid dan lain-lain menaikkan banner Tamat Darurat itu beramai-ramai.

Selepas itu, mereka membahagikan tuala, makanan dan minuman untuk gelandangan di sekitar kawasan itu dengan mengambil masa kira-kira satu jam bersama mereka mulai jam 9 hingga 10 malam.

Kira-kira 250 gelandangan di sekitar Pasar Seni mendapat manafaat dari pengedaran tersebut.

Khalid bersama Jawatankuasa Tamat Darurat sebelum ini melancarkan kempen mereka di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Kempen itu dilancarkan untuk mengumpulkan sokongan rakyat negara ini untuk merayu Yang Dipertuan Agong agar menamatkan darurat.

Ini kerana, usaha untuk melawan Covid-19 tidak memerlukan darurat kerana semua pihak telah memberikan kerjasama secara sukarela tanpa perlukan kuasa darurat untuk meminta mereka bersama-sama kempen itu.

“Darurat merosakkan ekonomi, politik dan sosial negara sedangkan undang-undang yang ada sudah mencukupi untuk melawan Covid-19,” kata Khalid ketika berucap di majlis pelancaran kempen itu baru-baru ini.

Sehingga kini lebih 15,000 orang telah menyokong kempen ini melalui laman tamatdarurat.com di mana orang ramai boleh menandatangani sokongan terhadap kempen itu melalui laman web itu.