Malaysia Dateline

Kempen #UndiRosak kempen orang kecewa

Sejak akhir-akhir ini, ketika semua pihak memberi tumpuan dalam melaksanakan proses demokrasi yang amat ditunggu-tunggu itu, tiba-tiba kita dikejutkan dengan kempen di media sosial dengan “hashtag undi rosak dan boikot pilihan raya” yang sangat cepat merebak dan mendapat perhatian warga netizen di dalam media sosial.

Kita sememangnya tidak menolak, akan terdapatnya agenda dan anasir tertentu melalui kempen tersebut. Ia seolah-olah telah dirancang dengan rapi dan cuba mengambil kesempatan atas sentimen kekecewaan segolongan pihak terhadap isu-isu yang melibatkan calon perdana menteri, parti dan SPR.

Kempen #undirosak, #boikotpilihanraya, #takmengundi dan #protestpru itu dikaitkan dengan sekumpulan pengundi muda yang kononnya sudah ‘bosan, penat dan letih’ dengan perkembangan politik negara. Kempen tersebut mengajak rakyat negara ini terutama pengundi muda agar tidak keluar mengundi atau sekalipun keluar mengundi, kertas undi perlu dirosakkan di samping memboikot pilihan raya yang akan datang sebagai tanda protes.

Fenomena kertas undi rosak adalah perkara biasa dalam pilihan raya walaupun tidak dapat dipastikan sama ada perkara itu berlaku secara sengaja atau tidak. Sejarah pilihan raya di beberapa negara luar dan Malaysia sendiri menyaksikan beberapa kejadian kertas undi rosak ini berlaku.

Sebagai contoh pada Pilihan Raya Umum Ke-12, sebanyak 324,120 kertas undi rosak dan ditolak manakala pada PRU-13 pula 332,297 kertas undi rosak telah direkodkan iaitu 171,556 undi bagi kerusi Parlimen dan 151,741 untuk kerusi dewan undangan negeri (DUN).

Aliran pertambahan jumlah kertas undi rosak ini sememangnya membimbangkan lebih-lebih lagi apabila jumlah kertas undi rosak lebih besar atau hampir menyamai majoriti yang diperoleh pemenang. Pada pilihan raya umum yang lepas sekurang-kurangnya 13 kawasan Parlimen berhadapan dengan situasi sedemikian.

Maka timbulkan pelbagai pandangan. Ada yang mengatakan jumlah undi rosak yang terlalu besar di satu-satu kawasan pilihan raya bukan disebabkan kecuaian pengundi tetapi sengaja dilakukan sebagai tanda protes kepada calon, SPR atau parti bertanding.

Saya juga meyakini bahawa kempen undi rosak tidak muncul secara organik dalam kalangan pengundi muda yang kecewa, sebaliknya ia merupakan kempen yang strategi, yang dilakukan secara halus oleh sekumpulan individu bagi memenuhi kehendak dan kepentingan diri sendiri. Natijahnya, tidak sedikit pengundi muda yang terpengaruh dengan kempen dan dakyah kumpulan tersebut dalam meracuni pemikiran pengundi muda supaya mengikut rentak tari mereka, sekali gus memudahkan cita-cita dan dendam mereka direalisasikan.

Saya masih meyakini bahawa sebahagian besar undi rosak dilakukan adalah berpunca daripada protes para pengundi terhadap sistem dan institusi SPR yang sering dilihat berat sebelah, kerana banyak membantu memenangkan parti pemerintah. Dan golongan inilah yang terikut-ikut dengan kempen yang tidak bertanggungjawab ini. Hakikatnya emosi mereka telah dipergunakan bagi memenuhi agenda kumpulan tertentu.

Motif sebenar kempen seumpama ini digerakkan tidak dapat dipastikan secara jelas. Bagaimanapun kempen ini boleh memberi kesan bukan sahaja kepada satu-satu kawasan pilihan raya, malah turut melibatkan negara. Mengundi adalah hak setiap rakyat yang layak. Terpedaya dengan kempen ini, menjadikan suara rakyat tidak kedengaran. Seluruh rakyat Malaysia yang waras tidak perlu melayan kempen yang sia-sia ini.

Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab Pakatan Harapan untuk meyakinkan para pengundi muda bahawa sekiranya golongan ini menolak kempen yang merosakkan demokrasi ini dan berfikiran waras dengan mengundi Pakatan Harapan dalam PRU-14 nanti, Insya-Allah kita akan sama-sama mengubah institusi pilihan raya di negara ini agar menjadi lebih telus, terbuka dan penuh integriti. Saya secara peribadi amat yakin dengan kebijaksanaan pengundi muda dan tidak mudah terpengaruh dengan kempen kotor seperti ini.

Oleh sebab itu jangan sesekali mensia-siakan undi anda atau terpengaruh dengan kempen yang tidak menguntungkan mana-mana pihak ini. Beri kepercayaan kepada Pakatan Harapan, untuk kali ini jangan rosakkan undi anda, hanya kerana mengikut emosi atau terpedaya dengan pihak yang kecewa.

Jom, pakat ramai-ramai kita tolak kempen #UndiRosak kita tukar kepada kempen #JomUndiPH.

*Penulis adalah Pengarah Komunikasi AMANAH Pahang