Kempen UndiSarawak catat sejarah belia Malaysia

Oleh BORHAN AHMAD

Lima anak muda yang menggerakkan kempen UndiSarawak menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching semalam berhubung pelaksanaan Undi18 menjelang Disember 2021 adalah satu sejarah di negara ini.

Pengasas Impak Pemuda, Ivan Ong berkata, beliau amat bersyukur dengan keputusan itu kerana ia membolehkan golongan belia Malaysia untuk mendapatkan hak mengundi pada pilihan raya akan datang.

“Undi18 mencipta sejarah dan merupakan pindaan Perlembagaan pertama yang sebenarnya mengembalikan hak mengundi kepada golongan belia telah dipersetujui oleh semua parti politik,” ujarnya dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Menurutnya, matlamat utama mereka bukanlah untuk menang semata-mata, sebaliknya ingin menghantar mesej bahawa penangguhan pelaksanaan RUU Undi18 adalah tidak rasional, tidak sah, tidak seimbang dan bersamaan penindasan pengundi.

“Oleh itu, saya dan rakan-rakan pemohon yang lain amat gembira dengan keputusan ini. Pada pilihan raya akan datang, dijangka ada kira-kira lapan juta pengundi baharu yang akhirnya mampu mengubah atau menentukan keputusan pilihan raya tersebut.

“1.2 juta suara baharu akan didengari, manakala polisi dan reformasi baharu akan berlaku berlandaskan suara-suara baharu ini. Berkenaan soal reformasi undang-undang pula, ahli kabinet yang membentuk kerajaan sendiri perlu ada keyakinan untuk melakukan pembaharuan,” jelasnya.

Pada awal Mei lalu, lima anak muda Sarawak yang mewakili kempen UndiSarawak telah memfailkan semakan kehakiman terhadap terhadap responden iaitu Perdana Menteri terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar Undi 18 dapat dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).

Mereka adalah Ivan Ong, 19, Sharifah Maheerah Syed Haizir, 20, Chang Swee Ern @ Grace Chang, 19, Viviyen Desi Geoge, 20 dan Tiffany Wee Ke Ying, 19.

Tegas Ivan lagi, UndiSarawak juga mengambil maklum bahawa satu keputusan serupa akan berlaku pada 21 Oktober 2021 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur iaitu 18 orang belia telah memfailkan semakan kehakiman yang serupa.

“Kami berharap agar keputusan semalam boleh dijadikan ‘precedent’ bagi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan menjadi piawaian pencapaian belia Malaysia. Dengan ini, golongan belia Malaysia boleh melaksanakan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dalam mewujudkan Malaysia yang lebih makmur,” ujarnya.

Tambahnya, dengan pelaksanaan penurunan had umur mengundi nanti, ia bakal membolehkan 125,000 hingga 135,000 anak muda Sarawak berumur 18 hingga 20 tahun untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) Ke-12 yang akan diadakan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak setelah berakhirnya Ordinan Darurat di Sarawak 2 Februari tahun depan.