Kemudahan awam dah jadi kesusahan awam, protes pengguna tren di ibu kota

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Kenaikan tambang tren dan pengangkutan awam di ibukota sebagaimana yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru telah disifatkan sebagai ‘kesusahan awam’ oleh penggunanya di sekitar ibu kota.

Kenaikan menggila tambang monorel, Transit Aliran Ringan (LRT) dan Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkuatkuasa sejak 2 Disember lalu serta kenaikan tambang Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) mulai 1 Januari ini benar-benar membebankan warga kota.

Hendak menggunakan kereta tidak praktikal memandangkan trafik yang sesak teruk pada waktu puncak selain pada masa sama kadar tol, harga petrol dan kos parkir sudah sedia melambung terutama bagi lokasi di sekitar ibu negara.

Bagi golongan muda yang baharu melangkah ke alam pekerjaan pula, majoritinya tiada pilihan terpaksa menggunakan pengangkutan awam seperti LRT kerana tidak mempunyai kenderaan sendiri.

Tinjauan Malaysia Dateline sejak tiga hari lalu mendapati rata-rata pengguna LRT, Komuter KTMB dan ERL yang ditemui berang dengan tindakan kerajaan termasuk pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) meluluskan kenaikan tambang yang tidak masuk akal itu.

Hanya mahu dikenali sebagai Puan Mimi, 54, dari Putrajaya, beliau geram dengan ketamakan syarikat LRT yang menaikkan tambang pada kadar melampau selain konsesi tol yang juga menaikkan caj ketika majoriti rakyat sudah sedia dibebani dengan peningkatan kos sara hidup.

“Lebih 100 peratus naik (harga). Mana kita rakyat ni nak lalu? Guna lebuhraya, tol sudah kerajaan naikkan. Guna kemudahan awam dah jadi ‘kesusahan’ awam,” bidasnya ketika ditemui Malaysia Dateline di stesen Titiwangsa itu, 4 Disember lalu.

Jadual caj bayaran yang dikenakan kepada penumpang.Menurut kerani pentadbiran di sebuah syarikat swasta di Jalan Pekeliling itu, ramai rakan sekerjanya turut terbeban memandangkan hampir separuh gaji mereka perolehi terbuang untuk kos pengangkutan.

“Saya lima hari seminggu terpaksa naik ERL dari Putrajaya ke TBS. Sekarang tambangnya masih RM5.30. Selepas ini dengarnya RM8.00.

“Dari TBS ke sini (stesen Titiwangsa) dulu tambang LRT hanya RM1.70, sekarang sudah berganda jadi RM3.30. Itu (tambang) sehala. Dulu kalau lebih RM3 boleh dapat untuk perjalanan dua hala.

“Sebelum itu pula setiap pagi, saya perlu berkereta menempuh Putrajaya, bayar tol RM2.00. Dulu sebelum tol naik tempoh hari, harga tambang RM1.30.

“Pendek kata, kos pengangkutan yang sekitar RM280 sebulan selepas ini nampaknya sudah lebih RM600. Banyak tu untuk orang macam kami yang tak dapat derma RM2.6 bilion ini,” sindir bekas pesara tentera itu lagi.

Pengguna panas hati dengan struktur tambang baharu tren KLIA Ekspres dan KLIA Transit bermula 1 Januari ini.

Poket makin ‘sakit’, makan kena berdikit-dikit

Situasi sama juga dialami pengguna LRT, yang mahu dikenali sebagai Mokhsin, 31. Beliau juga terpaksa memperuntukkan belanja pengangkutan sebanyak RM6.60 sehari untuk tambang pergi balik dari Sungai Besi ke Titiwangsa.

“Jumlah tambang itu sebenarnya kalau bagi saya sudah lepas belanja makan tengah hari padahal harga barang termasuk makanan sudah naik akibat GST (cukai barangan dan perkhidmatan). Kos pengangkutan ke tempat kerja sekarang pula sudah ‘makan’ gaji yang tak banyak mengalami kenaikan,” keluh ayah kepada dua anak itu lagi.

Bukan sahaja LRT, tambang KTM Komuter juga meningkat berkali ganda. Menurut Azuwan Kamaruddin, 28, beliau sama sekali tidak menghalalkan kenaikan melampau tambang Komuter dari Rawang ke Bank Negara naik daripada RM3.30 menjadi RM4.70.

Bagi pekerja swasta Zakirah Ali, 34, pula anggaran kasar bagi kos pengangkutan sebulan yang terpaksa ditanggungnya bakal mencecah RM350 sebulan ketika sejumlah wang juga perlu untuk pengasuh anaknya.

Beliau memberitahu Malaysia Dateline, sebanyak RM13.20 terpaksa disediakan setiap hari mulai 2 Disember lalu untuk tambang pergi balik menggunakan Komuter KTMB ke tempat kerja di ibu negara.

“Sangat-sangat terasa. Poket makin ‘sakit’. Sekarang makan kena berdikit-dikit. Pengangkutan awam dah seperti hanya untuk golongan berada.

“Kita pula terpaksa bekerja ibarat macam untuk memewahkan kerajaan dan kroni yang sudah sedia maha kaya pula,” ujar Zakirah lagi ketika ditemui di KL Sentral.

Tambang warga emas patut lebih rendah

Khalijah Shaari penumpang komuter mahu tambang warga emas dikurang lebih banyak lagi.Tinjauan Malaysia Dateline di stesen Komuter KTMB di Rawang pula mendapati beberapa warga emas ditemui menggesa supaya kerajaan menurunkan lagi harga untuk golongan pesara dan warga emas.

Pengguna Komuter, Khalijah Shaari, 62, berpendapat tindakan menaikkan tambang secara tidak langsung menjejaskan kemampuan golongan seusianya untuk menggunakan pengangkutan awam.

“Saya merayu supaya kerajaan turunkan lagi tambang untuk orang tua macam kami ini. Saya masih ingat sebelum pilihan raya (umum ke-13) lepas, ada muka Najib (Tun Razak) terpampang di badan tren Komuter ini kononnya kata mendengar masalah rakyat.

“Sekarang, apa sudah jadi? Hanya menambah masalah rakyat. Walaupun warga emas seperti saya dapat diskaun tetapi sebelum ini, tambang untuk kami tidak sampai RM2,” ujarnya yang dikenakan tambang RM2.60 untuk ke KL Sentral.

Sementara itu, Azhar Faris, 30, ketika ditemui berkata, kenaikan harga tambang Komuter sebanyak 42 peratus dari Rawang ke KL Sentral sangat mencekik darah dan seperti berlumba dengan LRT apabila sudah menjangkau RM5.10 berbanding RM3.60 sebelum ini.

“Tahulah nak untung tapi tak boleh ke naik sikit dulu. Kerajaan bukan main sebelum ni kata mahu mencapai status negara berpendapatan tinggi. Nampaknya, hanya negara berbelanja tinggi dulu jadi kenyataan,” bidasnya lagi.

 

TAGS