Malaysia Dateline

Kemudahan merokok: Kepentingan semua pihak perlu diambil kira

Kerajaan perlu melihat kepentingan semua pihak dan menyantuni sekelompok mereka yang merokok dengan menyediakan kemudahan seumpamanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin menjelaskan, sebagai sebuah kerajaan, kepentingan semua pihak perlu diambil kira termasuklah dalam aspek kebersihan persekitaran.

“Kita sebagai kerajaan harus melihat kepentingan rakyat semua sektor jadi ada sektor jaga kesihatan ada sektor yang hendak merokok. Maka itu kita juga harus menyantuni kelompok ini untuk memberi mereka kemudahan tempat merokok dan tempat buang rokok.

“Apa yang jadi isu kerajaan tempatan adalah apabila mereka merokok mereka sepah-sepah puntung rokok ini jadi tanggungjawab Kerajaan Tempatan saya harus menyediakan ini sebagai sokongan kepada polisi Kementerian Kesihatan,” katanya pada Ahad seperti dipetik laporan Astorawani.

Zuraida mengulas gesaan lebih 50 gabungan badan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO) supaya KPKT menarik balik langkah melaksanakan ruang khas merokok di tempat awam.

Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar yang menyatakan gabungan badan profesional dan NGO tidak bersetuju dengan idea berkenaan, apatah lagi dengan peruntukan RM1 juta yang disediakan.

Tindakan KPKT itu, tegas beliau, memberi mesej yang bertentangan dengan budaya hidup sihat dan fatwa pihak berkuasa agama Islam serta memberi sokongan kepada amalan tidak sihat itu.