Kemudahan rekreasi rumah PPR, mampu milik perlu ambil kira golongan remaja, dewasa dan veteran

Oleh MALAYSIADATELINE

Chong Eng bersama para peserta yang menghadiri Forum Wacana Perkahwinan Bawah Umur di Auditorium MPSP, Bandar Perda, Bukit Mertajam, semalam.

Setiap kemudahan rekreasi yang disediakan bagi setiap kawasan perumahan rumah kos rendah atau rumah mampu milik di Pulau Pinang perlu mengambil kira kesesuaian bagi masyarakat setempat.

Malah persediaan tersebut bagi memastikan semua peringkat umur dapat menikmati kemudahan yang disediakan semaksima mungkin.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama selain Islam, Chong Eng ketika ditemui semasa Forum Wacana Perkahwinan Bawah Umur yang telah diadakan di Bandar Perda, Bukit Mertajam,semalam.

Chong Eng

Menurut beliau lagi, perancangan ini adalah pelan yang akan diberi perhatian serius supaya bukan hanya taman permainan kanak-kanak yang disediakan, sebaliknya keperluan rekreasi bagi golongan remaja, dewasa dan veteran perlu diberi perhatian.

“Sekiranya taman permainan disediakan, ia adalah bagi memenuhi keperluan kanak-kanak yang berusia bawah 12 tahun.

“Namun begitu keperluan rekreasi bagi remaja dan belia bukan lagi buaian dan papan jungkit.

“Sebaliknya untuk golongan dewasa dan veteran sudah pasti bentuk taman rekreasi atau kemudahan riadah yang perlu disediakan adalah berlainan, ” jelasnya.

Oleh kerana itu katanya, idea bagi mewujudkan taman rekreasi atau riadah yang bersesuaian untuk peringkat umur yang berbeza sedang dipertimbangkan.

Beliau yang juga merupakan Adun Padang Lalang turut berkata, kajian dan analisa perlu dilakukan terlebih dahulu oleh beberapa jabatan yang terlibat.

“Perbezaan usia penghuni yang mendiami sesuatu kawasan projek perumahan rakyat maupun projek perumahan mampu milik harus diberi perhatian serius.

“Dengan kajian yang dilaksanakan maka satu persediaan yang lebih rapi untuk jangkamasa panjang dapat dilaksanakan.

“Bagi golongan veteran dan dewasa tempat berjogging dengan peralatan riadah yang lebih sesuai boleh disediakan jika dibezakan dengan keperluan taman kanak-kanak untuk anak-anak bawaah 12 tahun, ” tegasnya.

Tambah Chong Eng lagi, sebagai sebuah kerajaan yang amat peduli mengenai keperluan rakyat, maka penyediaan taman rekreasi dan riadah yang berbeza amat diperlukan oleh pelbagai golongan masyarakat.

Kata beliau, analisa dan kajian terperinci mengenai keperluan penyediaan taman rekreasi atau riadah tersebut boleh disediakan setelah mengambil kira jumlah majoriti golongan yang mendiami sesuatu kawasan projek perumahan yang dibangunkan.

Sekiranya ini dapat disempurnakan ujarnya, harapan kerajaan negeri bagi melahirkan masyarakat yang senantiasa sihat mampu menjadi realiti.