Kemudahan rumah OKU akan diutamakan, kata Khalid

Kemudahan rumah OKU akan diutamakan, kata Khalid

Khalid Samad di majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran MAB dan PERTIS di Brickfileds hari ini.

Kementerian Wilayah Persekutuan akan menimbangkan permintaan untuk memudahkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) mendapatkan penyewaan rumah dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menterinya, Khalid Samad berkata, ini selaras dengan permintaan dari Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) dan Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam (PERTIS) yang meminta kemudahan mendapatkan bantuan rumah.

Tambahnya, pihaknya juga akan membantu supaya Brickfields dikenali sebagai kawasan tumpuan OKU penglihatan di samping menyediakan kelengkapan sesuai untuk kegunaan mereka.

“Sepertimana yang mereka minta, mereka memohon untuk diberi keutamaan penyewaan rumah DBKL, diberi ruang untuk melakukan persembahan busker di Kuala Lumpur, atau di bawah kementerian, kami akan usahakan.

“Kita juga akan laksanakan supaya Brickfields dikenali sebagai satu kawasan yang melibatkan ramai OKU penglihatan dan kelengkapan sesuai untuk kegunaan mereka akan disediakan. Kami juga sedang dalam pelaksanaan memperluaskan kemudahan OKU penglihatan bukan setakat di Brickfields, malahan di sekitar Kuala Lumpur.

“Saya akan memastikan pihak DBKL untuk mengingatkan kontraktor yang menjalankan kerja pembangunan di Brickfields bhawa ini merupakan satu kawasan yang melibatkan ramai OKU penglihatan, maka kerja pembangunan dan kemudahan perlu mengambil kira keadaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Bagi Orang Malaysia (MAB) dan Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).

Beliau turut harap segala permasalahan selepas ini akan terus dimaklumkan kepada pihak kementerian supaya golongan OKU terus diberikan keutamaan terutamanya dalam sektor penawaran kerja.