Dr Mahathir sangkal kenyataan JPM berhubung kemudahan beliau

Dr Mahathir sangkal kenyataan JPM berhubung kemudahan beliau

Tun Dr Mahathir Mohamad menyangkal dakwaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bahawa segala kemudahan yang diberikan kepada beliau sebagai mantan perdana menteri tidak ditarik balik.

Dalam satu kenyataan bertarikh 9 Nov lalu, JPM mengakui tidak pernah menarik apa-apa kemudahan yang disediakan kepada mana-mana bekas perdana menteri termasuk Tun Mahathir.

Menurut JPM, Tun Mahathir dibekalkan dengan perjawatan yang meliputi pejabat beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) serta kediaman beliau di The Mines Resort City, Selangor selaras dengan Akta Ahli Parlimen (Saraan), 1980 (Akta 237).

Sejumlah 21 perjawatan diperuntukkan kepada Tun Mahathir.

Bagaimanapun, Tun Mahathir dalam reaksinya kepada kenyataan JPM di blognya berkata, terdapat kemudahan yang diperolehinya sebelum ini telah ditarik balik antaranya:

  1. Sewa ruang pejabat beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana ditamatkan dan beliau diminta menggunakan pejabat kerajaan yang tidak sesuai.
  2. Walaupun beliau layak mengguna pesawat terbang kerajaan, namun sekarang tidak dibenarkan malah sesiapa yang cuba memberi pinjam pesawat persendirian kepadanya akan dilapor kepada Jabatan Perdana Menteri.
  3. Secara tidak langsung tidak dibenar menggunakan rumah penginapan Kerajaan Persekutuan di London.
  4. Dua pengiring motorsikal dan empat pengiring UTK telah ditarik balik walaupun mantan perdana menteri lain masih dibekalkan perkhidmatan yang sama.
  5. Beberapa kakitangan pejabat dan tukang masak ditarik balik dan diganti dengan yang lain.
  6. Walaupun meletak jawatan secara sukarela di Proton, Petronas (dilucutkan sebagai penasihat) dan juga sebagai Canselor Universiti Teknologi Petronas, namun universiti-universiti swasta dinasihat untuk menamatkan khidmat beliau sebagai Canselor.
  7. Perbuatan seperti ini tidak pernah dilakukan kepada bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn walaupun mereka tidak menyokong kerajaan pada masa itu.
  8. Beliau tidak dibenar menggunakan dewan-dewan milik kerajaan pusat dan negeri yang diperintah BN juga dewan milik majlis bandaraya. Malah dewan milik swasta diberi amaran akan menerima padah jika disewa kepada sesiapa yang menjemput Tun Mahathir.

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0
CATEGORIES