Kemudahan untuk Food Bank di pasar borong Selayang dalam pertimbangan

Kemudahan untuk Food Bank di pasar borong Selayang dalam pertimbangan

Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengkaji cadangan mewujudkan kemudahan khas di pasar borong Selayang bagi memudahkan peniaga menyumbang kepada program ‘Food Bank Malaysia’ di sekitar Kuala Lumpur.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, menerusi kemudahan seumpama itu, peniaga boleh mengumpul lebihan bahan makanan yang tidak terjual dan juga yang telah diasingkan untuk diagih oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada golongan yang memerlukan.

“Bukan sahaja makanan lebihan yang kita terima, tetapi juga jika ada pihak yang ingin menyumbang apabila mengetahui program ini dianjurkan untuk golongan memerlukan. Yang penting makanan itu berkualiti dan selamat dimakan,” katanya pada program agihan sayur-sayuran KL Food Bank Wangsa Maju, malam tadi.

Dalam program itu, lebih 500 isi rumah terutama penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Gombak menerima kira-kira lima tan pelbagai jenis barangan makanan basah seperti sayur-sayuran dan ikan yang disumbangkan peniaga pasar borong Selayang.

Dalam pada itu, Khalid juga meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya mempertimbangkan cadangan membantu penganjur program Food Bank Malaysia daripada aspek logistik seperti kemudahan pengangkutan dan khemah.