Malaysia Dateline

Kemuka bukti jika ada penyalahgunaan wang royalti untuk parti, kata Ahmad Samsuri

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menggesa mana-mana pihak yang mendakwa berlaku penyalahgunaan wang royalti di Terengganu agar tampil mengemukakan bukti mengenainya.

Tegasnya, beliau tidak mahu ada ‘cakap-cakap belakang’ kononnya kerajaan PAS Terengganu menyalahguna wang royalti untuk kegunaan parti.

Beliau berkata setakat ini kerajaan negeri hanya menggunakannya untuk kebajikan rakyat sahaja dan memberi jaminan tidak akan berlaku penyalahgunaan royalti untuk parti.

“Kita minta pihak yang menyebut perkara sedemikian, mengemukakan bukti. Kalau semua bercakap ikut sedap mulut tanpa beri apa-apa bukti, maka punah-ranahlah sistem yang ada dalam negara kita.

“Kalau pihak yang rasa ada sesuatu (penyalahgunaan wang royalti), dia kena beri bukti..dari situ kita boleh tengok (kebenaran),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pusaka Terengganu kali ke-17 di sini semalam.

Baru-baru ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Senator Datuk Razali Idris menyuarakan kebimbangan mengenai pengurusan wang royalti Terengganu dan menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak mendesak kerajaan pusat menggunakan kaedah penyaluran lain sekiranya berlaku penyelewengan.

Ia susulan terdapat permintaan daripada perwakilan Pas (ketika Muktamar Tahunan PAS di Kuala Nerus) yang berharap royalti minyak dan gas Terengganu dapat digunakan untuk memperkukuhkan Pas di negeri lain.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri sudah menegaskan wang royalti Terengganu hanya eksklusif untuk rakyat negeri itu, malah kerajaan negeri juga menggunakan sistem audit yang sangat telus untuk melihat penerimaan dan perbelanjaan wang yang dapat mengelak risiko berlakunya penyalahgunaan royalti.

“Kita mempunyai sistem audit untuk semua penerimaan dan perbelanjaan. Jadi tidak timbul bahawa ia digunakan untuk parti politik. Jadi saya kembalikan persoalan ini kepada mereka yang mendakwa ia disalah guna. Pada saya ia (dakwaan salah guna) adalah tidak benar,” katanya.

— BERNAMA