Malaysia Dateline

Kemuncak Jelajah Selamatkan Felda 2.0 di Felda Mempaga esok, Tun M dijadual hadir

Seluruh lapisan masyarakat khususnya warga Felda dijemput menghadirkan diri di acara kemuncak Jelajah Harapan Bentong pada esok di Felda Mempaga.

Jelajah Selamatkan Felda 2.0 bersama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad itu akan bermula di Felda Lurah Bilut dan Mempaga, serta disusuli 30 kawasan Parlimen Felda terpilih.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, sempena program jelajah itu, Anak akan mengambil kesempatan melontarkan cadangan ‘pelan pemulihan Felda’ yang merangkumi isu hutang peneroka, perjanjian tanam semula’ yang berat sebelah, menstabilkan pendapatan peneroka dan masa depan Generasi Baru Felda.

Langkah ini, katanya sekaligus menjawab retorik Perdana Menteri pada pelancaran Felda 2.0 di Felda Lurah Bilut, 4 Feb lalu.

“Keengganan menubuhkan RCI yang menyebabkan kehilangan berbilion wang Felda, kemelut FGV dan kedudukan kewangan Felda yang kritikal; cuba dialih dengan gimik Felda 2.0 untuk mengalihkan perhatian warga Felda.

“Mana perginya Plan Transformasi Felda 2013-2056 yang dilancarkan sendiri YAB Perdana Menteri di zaman Tan Sri Isa Samad?

“Apa kesudahannya dengan projek Sentuhan Kasih di Felda Tenggaroh, Cini dan Tenang (Besut) yang bernilai RM40 juta setiap projek, yang kononnya berteknologi tinggi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Mazlan yang juga ahli jawatankuasa AMANAH Nasional juga mempersoalkan sehingga bila pentadbiran Najib mahu membohongi peneroka dan warga Felda dengan janji-janji tidak tertunai.