Kemunculan fasis Melayu?

Kemunculan fasis Melayu?

Dalam wawancara Ahmad Lufti Othman dengan Zin Mahmud, yang disiarkan oleh Malaysia Dateline, soalan yang terakhir ditanya oleh Lutfi mengenai politik jalur keras yang berkaitan dengan elemen bangsa dan agama.

Zin beranggapan politik jalur keras ini adalah merbahaya dan perlu ditangani semasa masih bibit. Pandangan Zin ini ada benar jika dilihat kepada demontrasi di Jakarta di mana agama semarak digunakan.

Sehubungan itu jika ia dibiarkan bermaharajalela ia boleh membawa kepada suatu kefahaman fasis. Cuma Lutfi menamakannya sebagai jalur keras sahaja.

Mungkin kita tidak menyedari penerapan elemen fasis semakin ketara di negara ini walaupun ia masih tidak boeh dinamakan sedemikian apa lagi konsepnya.

Sema ada disedari atau tidak perhimpunan anti-ICERD yang berlangsung tidak berapa lama dahulu seolah-olah untuk pertama kalinya menandakan kecenderungan ke arah konsep fasis Melayu.

Mungkin penyebutan fasis sudah agak mengerunkan kerana perkataan ini sering dikaitkan dengan pemimpin Jerman, Adolf Hitler dan pemimpin Itali, Benitto Mussolini, semasa Perang Dunia Kedua.

Namun persepakatan antara Umno-Pas telah memungkinkan kemunculan suatu ideologi perikatan Fasis Melayu yang tidak pernah seumpamanya wujud di negara ini atau sesiapa membayangkan kemunculan perkataanya sekalipun.

Jika memuatkan pendefinisian fasis yang dibaca melalui laman-laman sesawang dapatlah disimpulkan fasis adalah sebuah gerakan radikal ideologi nasionalis politik. Dalam ideologi fasis, rakyat tidak boleh mempunyai identiti yang beragam dan wajib seragam.

Fasis percaya bahawa bangsa memerlukan kepemimpinan yang kuat, identiti kolektif tunggal dan kemampuan untuk melakukan kekerasan dan berperang untuk menjaga bangsa yang kuat. Pemerintah Fasis melarang dan menekan penentangan terhadap negara.

Gabungan Umno – parti orang Melayu nasionalis sekular – dan Pas – parti Melayu bertunjang Islam sebagai mata rantai perjuangan – merupakan acuan kepada kemunculan fasisme dalam kalangan orang Melayu.

Fasisme biasanya digambarkan sebagai ideologi yang diletakkan dalam spektrum politik konvensional sama ada kiri-kanan. Terdapat juga konsensus ilmiah yang mengatakan bahawa fasisme boleh saja dipengaruhi oleh golongan kiri dan kanan, konservatif dan anti -konservatif, nasional dan supranasional, rasional dan anti-rasional.

Namun di negara kita fasisme boleh mengikut acuan tempatan bersifat kemelayuan dan ketuanan Melayu sebagaimana diagung-agungkan!

Ideologi fasisme Melayu adalah gabungan konvensional parti sekular Melayu dan parti Islam Melayu.

Selain Perhimpunan anti-ICERD yang berlangsung dan keluarnya ahli Parlimen dan dewan undangan negeri dari Umno, kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, Tabung Haji kononnya di bawah Kementerian Kewangan dan isu Statute Rome seolah-olah untuk pertama kalinya menandakan kemunculan kecenderungan ke arah Fasis Melayu.

Ini bukanlah bermakna telah wujud kumpulan tersebut tetapi fakta-fakta dan penonjolan bantahan dan suara Melayu itu membuatkan secara tidak sedar akan proses kemunculannya.

Mungkin ramai yang terkejut dan ada yang beranggap pandangan ini sebagai keterlaluan atau ada yang merasakan tahap pemikiran orang Melayu belum mencecah ke darjah ideologi sebagai satu anutan.

Adakah ideologi Fasisme Melayu adalah gabungan konvensional parti sekular Melayu dan parti Islam Melayu dan boleh melibatkan Raja-Raja Melayu dengan tidak melibatkan pihak tentera seperti gerakan fasisme Eropah dan Jepun?

Tidak dipastikan jika ancaman terhadap ketuanan Melayu yang diutarakan atau ancaman kepada kuasa absolut daripada anti-ICERD, Statut Rom atau yang menjejaskan sifat kemelayuan tulen (mengemukakan ancaman kepada instutuisi Raja-Raja Melayu) kemungkinan ideologinya boleh berkembang dalam kalangan angkatan tentera.

Namun di negara kita tidak terdapat pemimpin unggul mempunyai aura dan keperkasaan seorang pemidato mahukan dalam kalangan Umno dan Pas.

Ciri kedua kepada kemunculan fasis Melayu ialah ketundukan pihak lawan.

Biasanya gerakan Fasis disatukan dengan tujuan yang sama bagi ketundukan lawan. Dalam hal ini musuh tersebut dibayangi dalam sebuah kerangka konspirasi atau ideologi.

Dalam hal ini konspirasi biasanya dikaitkan dengan ancaman DAP. Perlantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dikatakan bersifat cauvinis itu menguasai kewangan orang Melayu.

Apabila Tabung Haji diletakkan di bawah Bank Negara, ia dikatakan tertaluk kepada cauvinis Cina DAP. Bagi orang Melayu konservatif, Tony Pua dan Guan Eng akan menjarah TH.

Walaupun telah dijelaskan TH tetap berada di bawah kuasa langsung Perdana Menteri dan menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam hal ehwal agama Islam dan bukannya terus berada di bawah kuasa penuh Bank Negara atau Kementerian Kewangan.

Dalam pola fikir Fasis, musuh berada di mana-mana. Musuh berada baik di medan perang mahupun dalam bangsa sendiri sebagai elemen yang tidak sesuai dengan ideologi Fasis.

Ciri ketiga Fasisme ialah dalam negara Fasis, ekonomi kapitalis pada dasarnya akan diteruskan dan rakyat hanya merupakan alat untuk pembangunan negara. Namun elit politik dan elit ekonomi biasanya bekerjasama dan ideologi mengenai bangsa dan identiti membuat warga biasa menjadi tidak sedar atau tidak peduli lagi terhadap hierarki ekonomi-politik.

Hierarki yang satu-satunya dipopularkan kaum Fasis adalah wujudnya hierarki antara bangsa iaitu kepada ketuanan Melayu. Maka yang selainnya dianggap sebagai lawan, maka layak untuk dikawal.

Oleh itu identiti ketuanan Melayu yang sebenarnya tertumpu kepada penguasaan elit politik dan kleptokrasi ekonomi Melayu yang telah menjarah instituisi Melayu dengan menjadikan rakyat Melayu sebagai mainan.

Biasanya, dalam fikiran Fasis musuhnya tidak nyata. Musuh hanya dibayangkan untuk selalu ada dalam kepala Fasis. Konspirasi ancaman kaum Cina biasanya hanyalah dalam bayangan fikiran tetapi hasilnya nyata, penentangannya kerana merupakan suatu yang dianggap merbahaya.

Oleh itu kemunculan kelompok Fasis Melayu akan selalu berada dalam keadaan terancam agar memiliki alasan untuk mengancam identiti di luar bingkai Fasisme ini: ideologi Fasis mengajar manusia untuk rasa takut dan terancam.

Dengan kemenangan Pakatan Harapan (PH), DAP merupakan parti majoriti Cina yang merupakan ancaman atau musuh kepada Umno dan Pas.

Atas alasan itulah kelompok Fasis sentiasa memelihara ketakutan melalui musuh bayangan.

Kita juga bimbang jika perkembangan ini berlaku secara tidak sedar maka ideologi Fasis Melayu akan menjadikan bangsa Melayu sebagai entiti organik

Falsafah politik organik ini merupakan salah satu dasar filsafat Fasis: Individu akan hilang kewujudannya, yang tinggal cuma fungsinya bagi pengukuhan bangsa atau negara.

Himpunan anti-ICERD adalah yang pertama seumpamanya dalam era pasca moden ini kerana yang datang ke perhimpunan ini menurut Ku Seman adalah isyarat daripada Melayu Islam kepada pemimpin bukan Islam dalam kerajaan.

Jelasnya lagi hakikatnya yang datang menunjukkan sokongan melampaui ahli kedua-dua parti itu.

Apa yang dinyatakan Ku Seman melalui bloknya bahawa perhimpunan ini memperlihatkan orang Melayu Islam telah keluar dari kepompong politik parti yang sempit. Mereka menjengah cara berpolitik yang menguntungkan kaum dan agama walau dengan apa parti politik sekalipun.

Maka kita boleh membuat kesimpulan bahawa perhimpunan itu memperlihatkan kematangan Melayu Islam dalam berpolitik. Yang datang memperlihatkan sokongan tentunya bukan sahaja terdiri daripada penyokong Umno dan Pas serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) malah penyokong-penyokong parti Melayu di blok kerajaan.

Jika diteliti himpunan anti-ICERD akan boleh membawa kepada kemunculuan Fasis Melayu.

Misalnya, kalau kita melihat diskusi umum dan wacana di dalam media sosial sama ada di Whatsapp dan FB ternyata keutamaaan kepada bangsa Melayu dan kenyataan-kenyataan anti Cina dan India solah-olah memperlihatkan orang Melayu dari Umno dan Pas dan mereka di kawasan luar bandar merasa terancam dengan kerajaan PH.

Memandangkan identiti Malaysia dikaitkan dengan landasan agama Islam, banyak tafsir agama yang agak terbuka dengan agenda Rahmatul alamin yang dianggap pula sebagai bertentangan dengan ajaran agama Islam yang dapat dilihat dalam isu LGBT.

Persoalan LGBT kerap dikaitkan sebagai ancaman untuk pembangunan bangsa dan agama iaitu tidak hanya sebagai ancaman moral, tapi juga sebagai ancaman untuk kekuatan fisik bangsa. Itu adaah wacana klise dalam pemikiran Fasis, yang menganggap kekuatan bangsa adalah dasar untuk melawan musuh.

Begitu dengan kebimbangan terhadap dakwaan pakatan kumpulan tertentu dengan Raja-Raja Melayu (dakwaan dalam Malaysian Chornicle) seolah-olah membuat Malaysia menarik diri dari menjadi anggota Statute Rome.

Identiti Fasis memerlukan identiti yang berciri eksklusif, seperti ketuanan Melayu dan daulat Melayu, identiti yang sempit dan tidak mampu menerima kepelbagaian.

Ke-Melayuan sebagai dasar identiti yang terasa diancam akan dibentuk menjadi lebih eksklusif memandang agama menjadi memasuki garis konservatif sebagai identiti menjadi lebih penting.

Oleh itu agama dapat diperalat sebagai ideologi Fasis

Agama dapat sahaja menjadi dasar Fasisme kerana dewasa ini agama dijadikan topik awam yang dizahirkan melalui simbol-simbol di ruang umum.

Dewasa ini, agama menjadi identiti kumpulan parti atau NGO Melayu dan bukan hal yang dikaitkan dengan individu lagi.

Jikalau agama sudah dijadikan dasar identiti eksklusif, maka akan kehilangan rohnya. Apa yang menjadi penting bukan lagi perdebatan tentang hakikat ilmu atau perkara berkaitan dengan kerohanian dan ketuhanan tetapi mendengar khutbah pemimpin sekali gus menelan bulat-bulat ucapannya tanpa berfikir secara kritis.

Oleh itu agama hanya menjadi luahan hubungan antara manusia, tidak lagi ekspresi hubungan individu dengan Tuhan kerana individu menjadi ‘hilang‘ dalam ideologi identiti.

Melalui identiti dan pandangan agama yang sempit, agama dapat diperalat menjadi ideologi Fasis supaya musuh diwujudkan. Kita berharap kecenderungan ini tidak berlaku dalam Umno dan Pas.

Mungkin akan bertanya bagaimana gerakan fasis akan dibentuk sedangkan ia adalah gerakan massa yang besar. Pada awalnya, fasisme diwujudkan dalam kelompok kecil, iaitu kelompok proto-fasis yang sudah lazim dengan gagasan perintah dan kepatuhan sebagai landasan struktur sosialnya. Ideologi mereka dijadikan sebagai asas tunggal dan serta ancaman kaum dan agama dapat dijadikan sebagai alat untuk menguasai dan menggugat orang lain.

Ciri dasar ideologi seperti kaum, ras dan agama, yang bergerak atas nama negara seperti Tanah Melayu sudah dapat disemai sebagai benih-benih Fasisme. Idea mereka akan tersebar dan ditular dalam media sosial.

Fakta tersebut sesungguhnya merupakan ancaman bagi persatuan bangsa. Jika penyatuan tidak diwujudkan atas dasar keadilan dan kesamaan ekonomi, maka harus ada kesamaan ideologi untuk mengikat masyarakat. Kepimpinan sekarang diharapkan dapat menghidu dan menyedari akan kemunculan kelompok Fasis Melayu.

Melawan musuh adalah strategi untuk melawan negara dan hak asasi manusia. Dua gagasan tersebut menjadi lawan bagi masing-masing. Hak asasi manusia selalu bertentagan dengan ideologi Fasis dan itulah yang dapat dilihat kepada Himpunan anti-ICERD baru-baru ini.

Kelompok Melayu yang diam dan tidak berpihak justru membantu membangkitkan ideologi ini dengan sengaja atau tidak.

Oleh itu kalau dahulu masyarakat didorong untuk percaya bahwa komunisme adalah musuh bersama yang mengancam kedaulatan negara tetapi sekarang liberalisme agama atau dan ancaman penguasaaan kaum seperti Cina dan India akan menggantikan menjadi musuh baharu.

Kalau kita ingin mewujudkan impian perjuangan mempertahkankan kemerdekaan dengan asas-asas yang dibina oleh pejuang kemerdekaan dahulu seperti termaktub dalam perlembagaan, kita tidak boleh percaya kepada institusi yang mengajak masyarakat untuk membenci dan memelihara musuh bayangan sehingga individualiti lenyap dalam kebencian kolektif.

Kita harus membuat keputusan apakah tujuan negara, adalah untuk membebaskan manusia dengan amalan demokrasi dan apakah agama menjadi dasar identiti dan alasan untuk membenci orang lain atau agama adakah hubungan antara individu dengan Tuhan merupakan sebuah hubungan yang mengajak kita untuk menerima kemajmukan atau keseragaman sahaja.

Kita harus ingat, ancaman ketakutan akan kepedulian orang Melayu akan kehilangan hak dan keistimewaan haknya dan agama yang dilihat terbuka akan membuat manusia Melayu tidak bebas dan lari ke ideologi fasis.

* Penulis adalah pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).