Kemusnahan Malaysia dari kuasa dalam, bukan luar

Kemusnahan Malaysia dari kuasa dalam, bukan luar

Selepas laporan Department of Justice Amerika (DoJ), di siarkan, pada mulanya saorang bekas Menteri menuduh komplot hendak menjatuhkan Najib.

Selepas itu ada yang mengatakan hendak porak peranda Malaysia. Yang terkini pula Ketua Menteri Melaka menuduh Amerika hendak membunuh Melayu seperti mereka membunuh rakyat Iraq! Hebat betul panglima setia Datuk Najib dari Negeri Hang Tuah.

Isunya sangat mudah sebenarnya. Duit rakyat Malaysia dibawa masuk ke Amerika secara haram dan mereka membeku harta yang dibeli dengan wang haram supaya hasilnya boleh dipulangkan ke rakyat Malaysia yang membayar cukai. Undang undang pengubalan wang haram di iktiraf oleh Bangsa Bangsa Bersatu pada 2010.

Parlimen Malaysia sendiri mengetatkan lagi hukuman dibawah undang undang pengubalan wang haram pada tahun 2014. Rakyat dan orang Malaysia yang menceroboh sistem kewangan Amerika di Negara mereka dan bukan Amerika yg masuk campur dalam sistem kewangan kita.

Tuduhan Amerika hendak jatuhkan Datuk Najib dan Malaysia sangat tidak munasabah kerana beliau amat akrab dengan Obama rakan golf bersama yang dilawati di Malaysia dua kali dalam setahun.

Dalam waktu Negara China mengancam ketenteraman rantau Asean dengan tuntutan perairan Laut China Selatan, Amerika memerlukan sokongan kesemua negara Asean.

Seperti di maklumkan di Parlimen awal tahun ini oleh bekas Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Amerika bercadang dan sedang berunding untuk membena pengkalan tentera di Sabah.

Tuduhan Amerika hendak membunuh Melayu saperti mereka membunuh orang Iraq selepas mengguling Sadam Hussin adalah bahan sesuai untuk inspirasi Raja Lawak Mega! Pihak juara Melayu Perkasa pun tidak teruja dengan tuduhan tersebut. Sadam Hussin bertindak agresif menyerang negara Kuwait dengan niat hendak mengambil hasil minyaknya.

Datuk Najib hanya merampas telaga minyak Bertam 307 dari Negeri jirannya Terengganu untuk diberi kepada Negerinya sendiri iaitu Pahang. Apabila Datuk Ahmad Said bekas MB Terengganu membantah, beliau diturunkan pangkat yang menyebabkan kemelut politik perang saudara Terengganu berlarutan sehingga hari ini. Najib tidaklah sehebat Saddam Hussin. Mungkin taraf jaguh kampung sahaja bukan taraf antarabangsa lagi.

Satu lagi sebab tuduhan hendak menjatuhkan Datuk Najib tidak masuk akal adalah kerana beliau sangat taat kepada kehendak Amerika dan Obama. Perjanjian TPPA di tandatangani oleh Najib walaupun ramai rakyat membantah dan Indonesia serta Thailand pun tidak menyertainya. TPPA adalah satu bentuk penjajahan ekonomi yang dipersetujui Najib. Undang undang Amerika boleh diguna pakai di Malaysia dalam apa apa pertikaian perjanjian.

Pada tahun lepas apabila negara sekutu rapat Amerika dari Negara Arab dan Afrika menjalankan latihan tentera Northern Thunder di Arab Saudi, anehnya Malaysia pun turut serta. Indonesia Negara umat Islam teramai dan Turki Negara Islam terdekat pun tidak menyertainya.

Datuk Najib sendiri ke Arab Saudi melawat tentera Malaysia yang bukan terdiri dari bangsa Arab atau Afrika! Begitu sekali mahu kelihatan rapat bersama sama sekutu Amerika. Ramai yang tidak menyedari tentera Amerika pernah membuat latihan ketenteraan di Terengganu beberapa tahun yang lalu.

Perdana Menteri Britain dahulu ,Tony Blair, semasa perang Iraq pernah di gelar “poodle (sejenis anjing jinak) George Bush”- kerana mengikut telunjuk George Bush, Presiden Amerika.

Entahlah bagaimana pula sejarah akan melihat Datuk Najib dan ketaatannya kepada Amerika dengan segala tindak tanduknya mengikut kehendak Amerika.

Apa yang nyata adalah Datuk Najib bukan seberani dan gagah seperti Saddam Hussin dan rakyat Malaysia tidak perlu bimbang akan diserang oleh Amerika.

Lagi pun kerajaan Amerika dan antarabangsa lebih ingin melihat Riza Aziz anak Najib, dan Jho Low pulang ke Malaysia menghadapi pengadilan di Negara kelahiran mereka. Rakyat Malaysia juga ingin mendengar cerita sebenarnya dari mulut mereka sendiri.

Soalannya, adakah Peguam Negara akan membenarkan kes ini di bicarakan di Malaysia ? Soalannya adakah Kerajaan dan Pengerusi PAC Parlimen akan membenarkan laporan Ketua Audit Negara dan laporan PAC tentang 1MDB dibebaskan dari sekatan OSA ?

Soalannya adakah semua ahli Kerajaan dan “pembangkang” penasihat Kerajaan akan mendesak Kerajaan berbuat demikian. Atau adakah sebahagian dari pembangkang yang mengelar diri mereka “penasihat” kerajaan akan membisu sekali lagi atau berkecuali?

Sebenarnya buat masa ini tiada kuasa luar yang berminat atau perlu menyerang kita kerana kita semakin memusnahkan Negara kita sendiri. Kehancuran Malaysia jika berlaku bukan akan disebabkan olih kuasa luar.

Malaysia akan dimusnahkan olih mereka mereka yang dipilih dan di amanahkan rakyat untuk memerintah Negara dan para argamawan yang memilih untuk membisu walaupun mereka mempunyai ilmu dan pengaruh.

COMMENTS

Wordpress (0)