Malaysia Dateline

Kena ‘body shaming’ dalam bahasa asing, wanita buat aduan guna bahasa sama kepada pengurus

Kebolehan dalam menguasai pelbagai jenis bahasa memberi banyak nilai tambah dalam kehidupan seseorang.

Kemahiran yang dikenali sebagai ‘multilingual’ ini membenarkan mereka yang menguasainya mampu memahami bahasa dan mendalami budaya serta adat resam sesuatu kaum.

Penguasaan ini juga mampu membuka banyak peluang buat pengamalnya khususnya dalam bidang pekerjaan di rantau ini sebagai contohnya bahasa Mandarin.

Umum mengetahui, begitu banyak tawaran pekerjaan di Malaysia yang menjadikan kemampuan berbahasa Mandarin sebagai syarat utama dalam permohonan mereka.

Di samping itu, kemahiran ini juga boleh menjadi perkara yang menyeronokkan apabila anda dapat memahami apa yang dikatakan oleh orang sekitar tanpa mereka ketahui.

Namun, lain pula pengalaman seorang wanita Melayu yang berdepan dengan perkara yang tidak menyenangkan apabila dikutuk oleh seorang pembantu jualan ketika sedang berbeli belah.

Siapa sangka, kedatangannya di kedai itu dengan hasrat untuk membeli baju tidak disambut dengan baik apabila pembantu tersebut bertindak berkata buruk tentangnya dalam bahasa Mandarin.

“Seorang jurujual berkata dalam bahasa Mandarin bahawa saya terlalu berisi untuk membeli-belah di kedai mereka dan dia juga berkata saya tidak perlu bersusah payah mencari kerana tiada apa yang sesuai untuk saya,”

“Saya terus ke juruwang, yang juga seorang pengurus. Saya maklum kepada pengurus dalam bahasa Mandarin apa yang dikatakan oleh pekerjanya,” kongsi pengguna media sosial Twitter yang bernama IzyClover.

Tiada niat untuk memburukkan mana-mana kaum, penuntut Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) ini berkata perkongsian ini hanya untuk memberi pengajaran dan ditujukan buat mereka yang ‘extremist’.

“Hantaran ini ditujukan pada mereka yang ‘extremist’. Kita tidak mahu membuat tanggapan umum di sini. Sama juga orang Melayu ‘extremist’ kita. Mulut pun boleh tahan. Mana-mana bangsa pun sama sahaja kan?,” kongsinya.

Baca juga: ‘Kata Family, tapi seorang je kerja’, wanita persoal mana pekerja lain di kedai serbaneka ni sampai pelanggan beratur lama