Malaysia Dateline

Kena ‘dating’ baru boleh kahwin? Graduan psikologi ini nasihat jangan tertipu hubungan sia-sia

Golongan bujang pada masa kini dibebani dengan soalan bila mahu kahwin, walaupun masih tiada pasangan, dan tidak bersedia untuk mempunyai hubungan dengan seseorang.

Ini menambahkan tekanan kepada orang bujang dalam memikirkan bagaimanakah cara untuk mengatur langkah mengenali seseorang yang baru.

Hal ini berikutan sesetengah daripada mereka berpandangan budaya ‘dating’ seperti makan bersama dan tengok wayang merupakan langkah pertama dalam tempoh perkenalan sebelum ke jinjang pelamin.

Hasilnya, mereka yang tidak ‘biasa’ dengan budaya tersebut membuat tanggapan bahawa peluang untuk melangkah ke alam perkahwinan amatlah tipis.

Namun begitu, seorang graduan psikologi, Azzura Jafri tampil menyangkal keperluan budaya ini untuk mengenal hati budi seseorang.

Menurutnya, temujanji seperti menonton filem di pawagam tidak menjamin seseorang dapat dikenali dengan lebih dekat bahkan ianya hanya membuang waktu.

“Banyak orang bujang yang runsing nak kenal seseorang sebelum kahwin dengan dia tanpa dating (temujanji) atau jumpa selalu, tengok wayang bersama?

“Kalau nak tahu, anda tidak memerlukan semua dating itu untuk mengenali seseorang dan melabur sacara emosi dalam hubungan yang tidak jelas,” ciapnya menerusi akaun Twitter.

Menurut Azzura, apabila sudah bersedia, kita boleh memulakan langkah dengan bertanya kepada kenalan ‘si dia’ tentang apa sahaja yang ingin kita ketahui.

Katanya, tidak salah untuk berjumpa dahulu sebelum berkahwin namun perlu ada batasan dan penuh hati-hati.

Perjumpaan ini juga perlulah sentiasa ditemani oleh sahabat atau keluarga sebagai orang ketiga bagi mengelakkan sebarang fitnah dan marabahaya.

“Yang hebatnya taaruf ini, anda tidak membazir waktu, tenaga dan emosi. Mungkin ada perasaan, namun tidak terlalu mendalam.

“Kalau jadi, jadi. Kalau tak jadi, next. Gittew,” tambahnya.

Azzura juga berpendapat, berkenalan melalui proses taaruf yang dianjurkan Islam itu lebih mudah dan tentunya tanpa ‘drama’.

Baca juga: Mas Idayu dianggap beri komen ‘membunuh’, Sissy Iman batal lancar album sulung