Malaysia Dateline

Kena faham, konsep Khemah Besar untuk satukan parti pembangkang, bukan kerjasama dengan kerajaan

AMANAH sekali lagi menegaskan bahawa pendekatan ‘Khemah Besar’ yang cuba diperkenalkannya di dalam Pakatan Harapan (PH) ketika ini, sama sekali tidak melibatkan penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada di dalam kerajaan sama ada Umno, Bersatu, mahupun Pas.

Sebaliknya, pendekatan Khemah Besar tersebut hanya akan melibatkan penyatuan dan kerjasama parti-parti pembangkang sahaja bagi menghadapi Pilhan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, PH tidak mungkin akan bekerjasama dengan pengkhianat yang jelas telah mengkhianati amanah dan mandat rakyat.

“Perlu ditegaskan bahawa golongan pengkhianat adalah mereka yang telah melompat untuk bersama Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) atas sebab tawaran-tawaran yang dibuat pada ketika itu. Tidak wajar kita menyamakan kumpulan yang telah melompat dengan kumpulan yang tidak melompat.

“Seperti mana tidak wajar kita anggap PKR sebagai parti pengkhianat atas sebab timbalan presidennya dan belasan ahli Parlimennya melompat, begitu juga adalah tidak wajar kita namakan Pejuang, Warisan dan Muda sebagai pengkhianat atas sebab pengkhianatan (Tan Sri) Mahiaddin dan Bersatu,” jelasnya dalam satu kenyataan terbaru tengahari ini.

Kena faham, konsep Khemah Besar untuk satukan parti pembangkang, bukan kerjasama dengan kerajaan

Mengulas lanjut Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata, penjelasan itu perlu dibuat bagi memberi kefahaman yang tepat berhubung pendekatan ‘Khemah besar’ yang dianjur AMANAH sebelum satu perbincangan bermakna dapat diadakan.

Bagi pihak AMANAH katanya, mereka menghormati dan meraikan perbezaan pandangan pelbagai pihak mengenai ‘Khemah Besar’ sebagai satu pendekatan politik PH untuk menghadapi PRU-15.

Bagaimanapun katanya, sebagai parti politik yang ingin menunaikan tanggungjawab terhadap rakyat dengan mengusahakan kemenangan dalam PRU-15, persoalan berkenaan usaha menyatukan pembangkang adalah amat perlu.

“Ke arah ini AMANAH akan berusaha memperbanyakkan kawan demi menghadapi lawan yang sama iaitu Barisan Nasional (BN) dan juga PN.

“Bagi yang membuat keputusan bahawa PRU-15 tidak akan dimenangi, usaha sebegini sememangnya tidak perlu. Usaha untuk kalah adalah jauh lebih mudah dari berjuang untuk menang,” tegasnya lagi.

Baca juga: Debat Anwar-Najib mesti jadi jangan pula batal saat akhir kerana kuarantin

Baca juga: Kita bakal berpuasa dua kali dalam tahun sama pada 2030