Malaysia Dateline

Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak

Kena patuhi undang-undang lawat banduan, kata Salleh

Tun Dr Mahathir Mohamad seharusnya adalah orang pertama menunjukkan contoh yang baik dan tidak menyalahgunakan kuasa atau melanggar undang-undang sebagai calon Perdana Menteri, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata Dr Mahathir merungut beliau tidak dibenarkan untuk melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di hospital semalam dan Dr Mahathir perlu tahu bahawa seseorang tidak boleh tiba-tiba muncul semata-mata untuk bertemu seorang banduan kerana ada prosedur yang terlibat.

“Jika tidak, beliau akan mengajar rakyat Malaysia bahawa jika anda seorang yang berkedudukan, maka anda tidak perlu mematuhi undang-undang.

“Adakah Dr Mahathir mematuhi prosedur yang sepatutnya? Malah isteri sekalipun tidak boleh melawat suami di penjara jika prosedur sepatutnya tidak dipatuhi, kata beliau menerusi catatan dalam blog beliau sskeruak.blogspot.my.

Kata Bendahari Umno ini lagi, isteri dan peguam perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan sebelum dibenarkan melawat banduan dan itupun, ada waktu tertentu dan tarikh yang diluluskan sebelum lawatan tersebut boleh dilakukan.

“Tidak timbul perkara seperti ad hoc atau lawatan mengejut dan juga ia tidak boleh melebihi jumlah jam yang dibenarkan dalam seminggu,” katanya.

Semalam hasrat Pengerusi Pakatan HarapanĀ  ituĀ  untuk melawat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital RehibilitasiĀ  di Cheras, tidak kesampaian selepas dimaklumkan Jabatan Penjara Malaysia tidak membenarkan beliau bertemu Anwar atas arahan pihak atasan di Kementerian Dalam Negeri (KDN).