Kenaf: Malaysia mampu lonjak produk ke peringkat antarabangsa

Kenaf: Malaysia mampu lonjak produk ke peringkat antarabangsa

Tanaman kenaf dan industri berkaitan dijangka mampu berkembang pesat dan berpotensi melonjakkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Haji Wan Ab Rahim Wan Abdullah berkata kegunaan produk kenaf yang begitu meluas membolehkan ia dipasarkan dalam pelbagai bidang kepenggunaan.

“Produk berasaskan kenaf kini meliputi barangan kraftangan, aksesori dalaman kereta, bahan binaan bangunan, aksesori binatang peliharaan, perkakasan pembuatan perabut dan terkini input pertanian organik,” katanya selepas melawat pusat pengumpulan dan kilang pemerosesan kenaf di Tok Bali pagi tadi.

Mengenai kilang itu beliau berkata, sekarang sepuluh tan kenaf mentah diproses di situ setiap hari.

Wan Ab Rahim diiringi Nik Mohd Azhar melawat kilang kenaf di Tok Bali

“Pihak pengurusan sedang berusaha meningkatkan keupayaan kilang tersebut untuk memproses sekurang-kurangnya 20 tan kenaf mentah sehari,” katanya.

Mengenai produk keluaran kenaf menurut beliau, permintaan terus meningkat di dalam dan di luar negara.

“Sebuah syarikat di Johor sudah berjaya membuat model rumah untuk asnaf menggunakan produk berasaskan kenaf.

“Model rumah ini bukan sahaja kosnya lebih murah, malah ia lebih tahan dan selesa berbanding dengan kaedah pembinaan sedia ada, ” katanya.

Menurutnya tempahan dari luar negara juga tidak dapat dipenuhi dengan keupayaan pengeluaran sekarang.

“Sebahagian keluaran kita di Tok Bali dibungkus mengikut spesifikasi antarabangsa untuk dihantar terus menggunakan kontena bagi tujuan eksport,” katanya.

Pengarah LKTN Negeri Kelantan Encik Nik Mohd Azhar Nik Mustafa bersama beberapa pegawai dan kakitangan turut mengiringi lawatan beliau itu.

Satu taklimat berkaitan operasi kilang berkenaan diberi oleh Nik Mohd Azhar sebelum Wan Rahim dibawa melawat kesemua bahagian operasi.