Malaysia Dateline

Kenaikan harga barang! Mat Sabu turut rasai denyut nadi keluhan rakyat di Jalan Jati

Ahli Parlimen Kota Raja, Haji Mohamad Sabu turut menyertai flash mob membantah kenaikan harga barang yang mendadak sejak akhir-akhir ini.

Presiden AMANAH itu menyertai flash mob yang diadakan di seluruh negara petang semalam dengan menyertainya di Jalan Jati, Shah Alam yang terletak dalam kawasan Parlimen yang beliau wakili itu.

“Rasai denyut nadi keluhan rakyat terhadap kegagalan kerajaan mengemudi perihal kenaikan harga barangan keperluan dapur.

“Rakyat amat tertekan dan terkesan. Bantahan di seluruh kawasan Parlimen hari ini.

“Di Kota Raja, flash mob berlangsung di Jalan Jati petang tadi,” tulis beliau di facebooknya.

Mohamad menyertai unjuk rasa di Jalan Jati petang semalam bagi membantah kenaikan harga barang.

AMANAH mengadakan tunjuk rasa di seluruh negara semalam dari Perlis ke Johor di setiap kawasan Parlimen yang mempunyai pemimpin dan aktivis parti itu.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahudin Ayub menyertainya di Pulai manakala pemimpin parti yang lain menyertainya di kawasan masing-masing.

Flash mob semalam adalah unjuran dari perhimpunan membantah kenaikan harga barang yang dibuat AMANAH pada 1 Julai lalu di depan Masjid Kampung Bharu, Kuala Lumpur.